Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majikan tidak harus diskriminasi terhadap pesakit HIV: TAFEP

Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil (TAFEP) menggesa para majikan agar tidak melakukan diskriminasi terhadap para pekerja berdasarkan keadaan perubatan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Jan 2019 10:53PM Dikemas Kini : 29 Jan 2019 10:56PM

SINGAPURA: Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil (TAFEP) menggesa para majikan agar tidak melakukan diskriminasi terhadap para pekerja berdasarkan keadaan perubatan mereka.

Gesaan itu dibuat selepas maklumat sulit sekitar 14,000 pesakit HIV dicuri dan dibocorkan.

Maklumat itu termasuk status HIV mereka, nombor kad pengenalan dan nombor telefon mereka.

Dalam jawapannya kepada pertanyaan Mediacorp, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan setakat tengah hari Selasa (29 Jan), pihaknya sudah menghubungi lebih 1,600 pesakit yang terjejas.

'BIMBANG KESELAMATAN KELUARGA' - PESAKIT HIV

Avin Tan, berusia 33 tahun, disahkan dijangkiti virus HIV pada 2009.

Semenjak itu, beliau menyumbang tenaga kepada kumpulan sokongan 'Action for Aids' (AFA) untuk menyokong para pesakit HIV.

Encik Tan adalah dalam kalangan mereka yang terjejas dengan pembocoran data pesakit HIV. Beliau berkongsi perasaannya yang bercelaru semasa menerima panggilan telefon dari pegawai MOH untuk memberitahunya tentang hal itu.

"Saya rasa, apa yang segera terfikir di benak saya adalah keselamatan keluarga saya. Itu adalah perkara yang penting bagi saya iaitu ingin memastikan mereka tidak terbabit," kata Encik Tan.

Beliau menambah bahawa ramai yang menghubungi AFA semalam dan ada yang begitu tertekan sehingga menangis memikirkan kesan pembocoran maklumat itu terhadap masa depan mereka.

MOTIF PEMBOCORAN DATA BELUM JELAS

MOH menyatakan semalam bahawa data itu mungkin didedahkan seorang lelaki Amerika Syarikat, Mikhy K Farrera Brochez.

Dia adalah bekas pemegang pas kerja di sini tetapi dikenakan hukuman atas beberapa kesalahan lain yang dilakukannya. Brochez sudah dihantar pulang pada April tahun lalu.

Dia menjalin hubungan dengan Dr Ler Teck Siang, bekas Ketua Unit Kesihatan Awam Nasional yang mempunyai akses kepada Daftar HIV bagi tugasnya dan menyalahgunakan maklumat sulit itu.

MOH menyatakan motif pembocoran itu masih belum jelas dan polis masih meneruskan siasatannya. 

Sumber : CNA/RU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan