Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majikan mesti beri pembantu rumah hari cuti yang tidak boleh diganti, umum MOM

Penduduk di Singapura yang menggajikan pembantu rumah hijrahan harus memberi mereka sekurang-kurangnya satu hari cuti yang tidak boleh diganti, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (22 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Jul 2021 06:29PM Dikemas Kini : 22 Jul 2021 11:27PM

SINGAPURA: Penduduk di Singapura yang menggajikan pembantu rumah hijrahan harus memberi mereka sekurang-kurangnya satu hari cuti yang tidak boleh diganti, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (22 Jul).

Langkah baru ini adalah antara beberapa langkah yang akan dilaksanakan oleh kementerian itu untuk membantu memperkukuh sokongan kepada pembantu rumah dan kesejahteraan mereka, menurut MOM dalam satu kenyataan media.

"Para majikan akan dikehendaki untuk memberikan MDW (pembantu rumah hijrahan) sekurang-kurangnya satu hari cuti sebulan yang tidak boleh diganti.

"Ini akan menyediakan lebih banyak peluang kepada MDW untuk menubuhkan rangkaian sokongan di luar rumah serta berehat dan menyegarkan semula diri daripada kerja," jelas MOM.

Dasar hari cuti wajib itu akan berkuat kuasa pada hujung 2022. MOM menyatakan ia memahami sesetengah majikan mungkin memerlukan masa untuk "menyesuaikan diri dengan aturan baru hari cuti".

Langkah baru itu diumumkan menyusuli satu semakan oleh MOM yang termasuk rundingan bersama pihak-pihak berkepentingan seperti mereka yang menggajikan pembantu rumah, agensi pekerjaan, pertubuhan bukan pemerintah dan doktor.

MOM menyatakan langkah-langkah itu dibangunkan dengan dua matlamat besar - iaitu demi membantu kedua-dua pembantu rumah dan majikan mencapai "hubungan pekerjaan yang saling memanfaatkan" serta untuk mengesan tanda-tanda penderaan "dengan lebih pantas".

"Kami mengakui bahawa MDW mungkin berdepan cabaran dalam menyesuaikan diri dengan kerja dan hidup di Singapura. Begitu juga, majikan mungkin berdepan kesulitan untuk bertolak ansur dengan seseorang yang baru di dalam rumah mereka," menurut kementerian itu.

Ia menyasarkan untuk lebih pantas mengesan tanda-tanda penderaan dengan "mempertingkat tempat-tempat perhubungan sedia ada" serta membantu pembantu rumah membangunkan rangkaian sokongan lebih luas menjangkaui isi rumah mereka.

PELBAGAI LANGKAH DILANCARKAN SECARA BERPERINGKAT

Langkah-langkah lain, yang akan dilancarkan secara berperingkat termasuk mempertingkat pemeriksaan perubatan setiap enam bulan bagi pembantu rumah untuk mengesan sebarang tanda penderaan dengan lebih baik .

Doktor dikehendaki mencatatkan indeks jisim badan (BMI) dan memeriksa bagi tanda-tanda mencurigakan serta kecederaan yang tidak boleh dijelaskan. Mereka juga perlu menyerahkan semua rekod tersebut kepada MOM bagi langkah susulan sekiranya perlu.

Proses itu akan dilaksanakan menjelang suku ketiga 2021.

Satu lagi langkah adalah pelaksanaan pemeriksaan selepas pengerahan oleh agensi pekerjaan. Langkah itu, yang bakal dilaksanakan pada suku keempat 2021, adalah bagi memastikan bahawa pembantu rumah dan majikan menyesuaikan diri dengan baik serta untuk menghulurkan sokongan jika perlu.

"Sebagai pengantara yang membantu memadankan antara pembantu rumah hijrahan dengan majikan, agensi pekerjaan memainkan peranan penting dalam membantu kedua-dua pihak membina hubungan yang kukuh," menurut MOM.

Pembantu rumah juga akan ditemu ramah dua kali sepanjang tahun pertama mereka bekerja, naik sekali daripada hanya satu kali sekarang. Ini berdasarkan peluasan temu ramah seumpama itu yang diumumkan sebelum ini untuk merangkumi semua pembantu rumah pertama menjelang akhir tahun ini.

"Ini akan memberikan pembantu rumah hijrahan dan majikan mereka lebih banyak peluang untuk mengutarakan serta menghuraikan masalah dan mencapai hubungan pekerjaan mereka," jelas MOM.

Bagi memudahkan temu ramah secara bersua muka itu, MOM akan menubuhkan tiga pusat kejiranan dengan kerjasama Pusat bagi Pekerja Pembantu Rumah (CDE). Pusat kejiranan pertama disasarkan mula beroperasi menjelang suku pertama 2022.

MOM menyatakan lebih banyak butiran mengenai pelbagai inisiatif itu akan dikongsikan kelak.

"Menjaga pekerja pembantu rumah hijrahan akan memerlukan usaha seluruh masyarakat.

"Kami ingin menggalak setiap orang untuk memainkan peranan dalam membangunkan sebuah budaya menghormati dan menjaga pekerja pembantu rumah hijrahan di rumah kita dan masyarakat kita," menurut MOM. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan