Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majikan intip amah melalui CCTV - Apa yang boleh dan apa batasannya?

Apabila anak keduanya dilahirkan tiga tahun lalu, Encik Christopher Sun menggajikan seorang pembantu rumah asing untuk membantu menjaga anak-anaknya.

Anggaran Waktu Membaca:
Majikan intip amah melalui CCTV - Apa yang boleh dan apa batasannya?

Gambar fail.

Diterbitkan : 07 Oct 2018 06:03PM Dikemas Kini : 07 Oct 2018 06:11PM

SINGAPURA: Apabila anak keduanya dilahirkan tiga tahun lalu, Encik Christopher Sun menggajikan seorang pembantu rumah asing untuk membantu menjaga anak-anaknya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau memasang kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah, bagi memastikan orang gajinya "tidak melakukan perkara-perkara yang tidak baik" dan menengok-nengok anak-anaknya.

Suatu hari, beliau berasa terkejut ketika melihat rakaman CCTV dari pejabatnya. "Pembantu rumah saya menendang anak perempuan saya, (dan beliau) jatuh ke lantai," kata Encik Sun.

"Nasib baik saya memasang kamera-kamera CCTV. Jika tidak, saya tidak akan tahu berapa kali anak-anak saya dilayan seperti itu."

Encik Christopher Sun menunjukkan salah satu kamera CCTV yang dipasang. 

Encik Christopher Sun menunjukkan salah satu kamera CCTV yang dipasang. 

Encik Sun kemudian menyerahkan rakaman itu kepada polis dan memuat naik video tersebut ke laman Facebook sebagai peringatan kepada ibu bapa lain.

Beliau hanyalah salah seorang daripada ramai majikan yang memasang kamera-kamera di rumah untuk memantau kegiatan pembantu rumah masing-masing. Satu kajian pada 2015 mendapati sekitar 20 peratus pembantu rumah asing Singapura bekerja di rumah yang dipasang kamera-kamera CCTV.

Namun, apakah langkah ini "keterlaluan"? Apakah ia sah di sisi undang-undang untuk merakam dan memuat naik video seperti itu ke platform-platform online?

TERUS-MENERUS DIPANTAU

Sepanjang dua tahun lalu, terdapat sebilangan kes yang dilaporkan tentang amah yang melakukan kesalahan jenayah di rumah majikan. Antara kesalahannya termasuk, mencuri dan menganiaya kanak-kanak kecil mahupun warga emas.

Kebanyakan kes-kes ini terbongkar kerana adanya kamera CCTV - antara sebab majikan seperti Encik Chan memasang kamera adalah sebagai langkah berjaga-jaga.

Meskipun sesetengah pembantu rumah asing menerima kamera-kamera seperti ini dipasang di tempat kerja mereka, ada juga yang mengadu berasa terus diperhatikan dan mendakwa privasi mereka diganggu.

Bagi amah Indonesia seperti Rita (bukan nama sebenar), beliau berasa tidak selesa dengan adanya kamera-kamera seperti ini dan berpandangan bahawa "jika (majikan) tidak dapat mempercayai mereka, mereka seharusnya tidak menggajikan pembantu rumah".

Rita juga menyifatkan langkah yang diambil majikannya sebelum ini sebagai keterlaluan - kamera di pasang di hampir setiap sudut di rumah, termasuk di bilik tidurnya.

Majikan Rita sering pantau kegiatannya di rumah. 

Pernah sekali, anak lelaki majikannya memanjat ke atas meja. Beliau mendapat panggilan daripada majikanya yang marah, memberitahunya supaya "tidak membenarkan budak itu duduk di atas meja".

Ini membuat Rita begitu terkejut selepas menyedari beliau diawasi melalui kamera CCTV.

Menurut Rita, ketika beliau duduk berehat seketika, beliau akan menerima panggilan dan majikannya akan bertanya: "Mengapa asyik duduk?" Apabila beliau ke bilik air pula, majikan akan menelefonnya untuk bertanya sebab beliau "terlalu lama" dalam bilik air.

Rita meminta agensinya supaya ditugaskan di bawah majikan lain apabila kontraknya berakhir.

KIAN RAMAI ENGGAN DIAWASI KAMERA

Agensi pembantu rumah United Channel menyatakan bahawa ia mendapati kian ramai amah yang menolak tawaran bekerja daripada para majikan yang memasang kamera CCTV di rumah. Bilangan itu membentuk sehingga 30 peratus kes-kes yang dikendalikan.

Pengurus Cawangan Flora Sha menarik perhatian bahawa lazimnya, amah yang berpengalaman sering menolak tawaran seperti itu. Apabila amah mengadu tentang kamera CCTV di rumah, agensi itu menyatakan ia selalunya akan mencuba untuk menghuraikan masalah dengan para majikan. Jika gagal, mereka akan mencarikan pembantu rumah baru untuk mereka.

Walaupun majikan berpandangan kamera CCTV perlu dipasang sebagai langkah berjaga-jaga, tidak ramai yang berfikir tentang apa yang boleh dan dilarang dilakukan dengan adanya kamera-kamera seperti ini.

Gambar hiasan.

Garis panduan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan bahawa majikan perlu memaklumkan pembantu rumah tentang sudut-sudut mana kamera seumpama itu dipasang. Ia juga tidak haruslah dipasang di tempat-tempat yang akan menggangu dan tidak menghormati privasi amah, seperti tempat beliau tidur atau menyalin pakaian, atau di tandas.

Meskipun begitu, peguam Steve Tan dari Rajah & Tann menjelaskan ia sah di sisi undang-undang untuk memasang kamera CCTV yang merakam kegiatan-kegiatan dalam rumah, termasuk kegiatan pembantu rumah.

"Ini dipanggil pengecualian peribadi atau domestik. Ia bermakna apa-apa sahaja yang dilakukan pemilik rumah, dari segi mengumpul data peribadi seperti gambar-gambar CCTV dalam konteks peribadi atau domestik, tidak perlu memenuhi undang-undang perlindungan data umum," katanya.

Tetapi majikan tidak boleh memasang kamera di bilik majikan atau bilik air, atau di sudut yang anda tahu beliau akan menyalin pakaian", katanya.

"Jika anda melakukan sesuatu dengan niat untuk menghina kehormatan seorang wanita, atau mengganggu ruang privasi wanita berkenaan, ia jelas satu kesalahan jenayah," kata Encik Tan.

BOLEH PILIH "TIDAK BEKERJA DI TEMPAT ITU"

Namun, bagaimana pula jika seorang amah terpaksa tidur di ruang tamu, misalnya, yang sudah dipasang kamera?

"Tiada siapa yang akan menanggalkan pakaian di ruang tamu anda, terutama sekali jika anda tahu ramai yang menetap di bawah satu bumbung," kata Encik Tan. Atas sebab ini, tambah beliau, "ia masih wajar bagi anda untuk memasang CCTV di ruang tamu".

Dalam pada itu, pelbagai pandangan masih lagi berlegar-legar di luar sana tentang sama ada menjadi satu kesalahan untuk memuat naik rakaman kegiatan mereka di rumah, termasuk pembantu rumah, ke laman media sosial, katanya.

Majikan akhirnya mempunyai hak untuk mengawasi, merakam dan mengongsi rakaman yang dirakam kamera CCTV di rumah. Jalan keluar bagi amah?

"Pilih untuk jangan bekerja dengan majikan seperti ini," jawab Encik Tan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan