Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majikan berdepan masalah bayar bil perubatan amah boleh dapatkan bantuan

Para majikan bertanggungjawab membayar bil perubatan pembantu rumah hijrahan mereka di Singapura tetapi mereka boleh mendapatkan bantuan sekiranya menghadapi masalah kewangan, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad di Parlimen pada Selasa (27 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Majikan berdepan masalah bayar bil perubatan amah boleh dapatkan bantuan
Diterbitkan : 27 Jul 2021 09:31PM Dikemas Kini : 27 Jul 2021 09:37PM

SINGAPURA: Para majikan bertanggungjawab membayar bil perubatan pembantu rumah hijrahan mereka di Singapura tetapi mereka boleh mendapatkan bantuan sekiranya menghadapi masalah kewangan, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad di Parlimen pada Selasa (27 Jul).

Encik Zaqy menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (PAP-Macpherson) Tin Pei Ling tentang sejauh mana seorang majikan bertanggungjawab ke atas yuran perubatan bagi pembantu rumah hijrahan di Singapura jika rawatan yang diperlukan adalah disebabkan kegiatan sosial semasa hari cuti mereka dan kuantum yuran perubatan menjangkaui had dibayar insurans.

Cik Tin menjelaskan di Parlimen bahawa beliau memfailkan pertanyaan tersebut kerana menerima pertanyaan daripada seorang penduduk warga senja di kawasan undinya yang terpaksa membayar yuran "lima angka" selepas pembantu rumahnya mendapat jangkitan penyakit kelamin (STD).

Majikan bertanggungjawab ke atas kos perubatan meskipun penyakit yang dialami pembantu rumah hijrahan (MDW) dan/atau kemalangan yang menimpanya tidak berkaitan dengan kerjanya.

"MDW itu didiagnosis dengan beberapa STD dan ia hanya dikesan dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk menaiki pesawat pulang ke negara asal. Oleh itu permit kerjanya pada ketika itu sudahpun dibatalkan," kata Cik Tin. "Dan tidak ada yang tahu tentang perkara itu sehingga dia melencong untuk berjumpa doktor."

Cik Tin menambah bahawa dalam kebanyakan kes, tidak kira sama ada yang melibatkan kemalangan mahupun penyakit yang tidak dikaitkan dengan pekerjaan mereka, keperluan tersebut adalah munasabah.

Namun, dalam soalan tambahannya, Cik Tin bertanya : "Dalam kes ini, ia tampak seperti beban keterlaluan ke atas majikan. Untuk berlaku adil, MOM (Kementerian Tenaga Manusia) dan pihak hospital telah cuba menghulurkan bantuan.

"Namun pertanyaan salah adalah: adakah ia saksama dalam kes sedemikian, meskipun jarang berlaku, bagi pihak majikan menanggung tanggungjawab sedemikian? Patutkan tanggungjawab itu dikongsi bersama MDW?"

Encik Zaqy berkata adalah lebih munasabah jika majikan menanggung bil perubatan pembantu rumah mereka berbanding mengalihkan tanggungjawab itu kepada pihak luar seperti pembayar cukai.

"Apabila kita mengambil pembantu rumah hijarahan, salah satu perkara yang kita harus maklum ialah kita bukan sahaja mengambil seorang pekerja tetapi beliau seorang insan. Oleh itu, selain meraih faedah daripada sumbangan kerjanya, terdapat juga risiko perlu berbudi bicara, sama seperti insan-insan lain, seperti kita," kata beliau.

Beliau menambah bahawa majikan dikehendaki mendapatkan pelan perubatan insurans sekurang-kurangnya S$15,000 setahun untuk membiayai kos jagaan dalam hospital dan pembedahan harian bagi pembantu rumah mereka.

Jumlah tersebut cukup untuk menampung sekitar 95 peratus bil hospital yang dikenakan kepada MDW, kata Encik Zaqy.

"Lebih dari itu, majikan boleh membuat pilihan mendapatkan perlindungan lebih luas daripada syarikat insurans untuk melindungi mereka dengan lebih baik lagi terhadap bil yang lebih tinggi," tambah beliau.

Encik Zaqy menambah, MOM sedang menyemak semula liputan minimum insurans.

Sementara itu, majikan yang menghadapi masalah kewangan dalam membayar bil perubatan MDW boleh mendapatkan bantuan daripada pekerja sosial perubatan di hospital. MOM juga sudah bertindak untuk menghulurkan bantuan apabila majikan benar-benar berdepan masalah kewangan, tambah beliau.

"Apa yang kami cuba melakukan adalah untuk memastikan bahawa pembantu rumah itu tidak dinafikan rawatan sewajarnya, meskipun majikan mungkin tidak mampu membayar bil perubatan sepenuhnya," kata Encik Zaqy.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan