Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majikan bangkitkan suasana Hari Raya Aidiladha untuk pekerja warga M'sia

Encik Hanizam Noh dan dua rakan sekerjanya Mohd Luqman dan Shamirul Naizairahmed sudah hampir 5 bulan tidak dapat keluar Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Encik Hanizam Noh dan dua rakan sekerjanya Mohd Luqman dan Shamirul Naizairahmed sudah hampir 5 bulan tidak dapat keluar Singapura.

Ini setelah Malaysia dan Singapura masing-masing menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan merentasi sempadan ke atas warga tempatan mahupun warga asing.

MENGINAP DI BENGKEL KERETA

Di sebabkan arahan tersebut, mereka bertiga memilih untuk kekal bekerja di bengkel kereta Hussain & Sons di Kaki Bukit.

Selepas meneroka beberapa pilihan penginapan, majikan mereka mendapatkan kebenaran Kementerian Tenaga Kerja (MOM) untuk mengubah bilik menunggu para pelanggan menjadi sebuah tempat tinggal sementara buat mereka.

"Kami sediakan katil, televisyen dan juga WIFI untuk mudah mereka berhubungan dengan keluarga di seberang tambak," kata anak pemilik bengkel Encik Khairil Salim.

Oleh kerana tidak dibenarkan memasak di dalam bengkel, Encik Khairil menggunakan khidmat pesanan makanan untuk para pekerja mereka itu selain memberi elaun kepada mereka untuk membeli makanan di luar.

2 KALI RAYA TANPA KELUARGA

Meskipun menghubungi isteri dan tiga anaknya setiap hari, Encik Hanizam tetap merindui suasana beraya bersama keluarga terdekat.

"Biasanya kita jumpa adik-beradik, saudara-mara, pakcik makcik semua dan kita biasanya berkumpul di rumah arwah datuk saya," kata beliau.

Encik Mohd Luqman pula sangat rindukan anak perempuannya.

"Saya baru juga berumahtangga dan sangat rindukan anak saya yang akan menyambut hari lahirnya yang kedua September ini, kata beliau.

Suasana hari raya ini juga sangat berbeza bagi Shahmirul.

"Adik beradik lelaki saya biasanya lakukan korban seekor lembu tetapi tidak dapat melakukannya pada tahun ini."

"Saya amat rindukan ibu bapa saya. Saya rindu masakan ibu saya," ujarnya.

LAUK-PAUK RAYA UNTUK HILANGKAN RASA RINDU

Pemilik bengkel Hussain & Sons Encik Salim Hussain dan isterinya memasakkan lauk pauk raya dan meluangkan masa bersama-sama para pekerja mereka itu di bengkel pada pagi raya.

"Seperti Hari Raya Aidilfitri yang lalu kita menyambutnya dengan mereka. Kami bawakan makanan ke sini untuk menjamu mereka. Kami harap ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka mengubati rindu pulang ke kampung," kata Encik Salim.

MUNGKIN DAPAT PULANG AWAL OGOS

Hari yang dinanti-nantikan untuk bersama orang-orang tersayang mungkin menjadi kenyataan pada 10 Ogos nanti.

Awal minggu ini, Singapura dan Malaysia bersetuju melaksanakan skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA)

RGL membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi.

PCA pula membolehkan penduduk Malaysia dan Singapura yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja, dapat berulang alik bagi urusan kerja. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan