Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MAJ Muhammad Redza Mohd Asri gigih latih askar, santuni hidup mereka

Sejak menyertai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 2006, Mejar (MAJ) Muhammad Redza Bin Mohd Asri sudah diberikan kepercayaan untuk menyandang beberapa jawatan kepimpinan.

Anggaran Waktu Membaca:
MAJ Muhammad Redza Mohd Asri gigih latih askar, santuni hidup mereka

MAJ Muhammad Redza Mohd Asri. (Gambar-gambar: PIONEER)

Diterbitkan : 11 Oct 2021 08:30PM Dikemas Kini : 11 Oct 2021 08:41PM

SINGAPURA: Sejak menyertai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 2006, Mejar (MAJ) Muhammad Redza Bin Mohd Asri sudah diberikan kepercayaan untuk menyandang beberapa jawatan kepimpinan.

Ini termasuk jurulatih platun di Sekolah Pegawai Kadet (OCS) dan Pegawai Pemerintah (OC) di Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) dan 1 SIR.

Pada 2019, beliau dilantik ke jawatannya sekarang iaitu sebagai Jurulatih Bravo Company di Pusat Latihan Unit Kerahan di Institut Latihan Infantri (ITI).

MAJ Redza memberi tunjuk ajar kepada seorang pelatih di ITI. 

Beliau turut melatih rakan-rakan seangkatan, Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) dan Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) untuk penilaian Pusat Penilaian Latihan Tentera (ATEC).

Individu berusia 36 tahun itu yang juga merupakan bapa kepada tiga orang anak berpegang teguh kepada prinsip memberikan ruang kepada para askar untuk memimpin sesetengah operasi dan hanya campur tangan untuk memperbetulkan keadaan jika perlu.

Dalam wawancaranya bersama majalah PIONEER terbitan SAF, MAJ Redza berkongsi kaedah latihannya: "Sebagai ketua jurulatih, saya akan memberi para pelatih saya sebanyak mungkin ruang untuk belajar tanpa menjejas prestasi. Saya juga memberi nasihat tentang cara terbaik dan paling pantas untuk menyelesaikan sesuatu misi atau operasi tetapi jika mereka memilih untuk melakukan cara mereka sendiri, sila teruskan."

Para pelatih di ITI melakukan latihan sedang dipantau oleh MAJ Redza. 

MAJ Redza juga tidak gentar untuk meminta maklum balas negatif. "Jadi saya boleh memperbaiki diri saya! Jika mereka hanya memberi maklum balas positif, saya akan anggap seolah-olah kita cemerlang dalam apa yang saja yang dilakukan."

Mengenai sumber inspirasinya pula, MAJ Redza berkata: "Leftenan Kolonel (LTC) Jasni. Beliau menasihati saya supaya mendampingi para rekrut atau pelatih seperti adik-beradik saya sendiri. Saya masih ingat lagi beliau pernah berkata jangan anggap mereka sebagai individu yang hanya lintas lalu dalam kehidupan anda yang anda lepaskan selepas tiga bulan menjalani Latihan Asas Tentera.

"Pastikan anda melatih mereka dengan baik, jadi mereka boleh jadi anak lelaki yang baik kepada ibu bapa mereka dan mampu memimpin keluarga mereka dengan baik selepas mendirikan rumahtangga kelak."

Apa pula kepuasannya sebagai seorang jurulatih? Ini jawapan MAJ Redza: "Saya selalu kata apabila para pelatih dan askar mendapat keputusan baik kerana kerja keras mereka membuahkan hasil."

Kepuasan memberi tunjuk ajar kepada pelatih, menurut MAJ Redza, terletak pada pencapaian mereka kelak selepas menjalani latihan bersamanya. 

"Ada juga apabila mereka masih ingat pada saya sebagai jurulatih mereka, terutamanya apabila mereka memanggil nama saya di tempat awam. Saya mungkin tidak ingat semua orang yang pernah saya latih tetapi apabila mereka menyapa saya, ini mungkin kerana saya membawa kesan pada kehidupan mereka, saya rasa amat puas hati.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan