Images
  • visa arab 1

Mahu melancong 'solo' ke Arab Saudi? Ambil perhatian perkara berikut...

BERITAmediacorp: Visa pelancong yang diperkenalkan Arab Saudi baru-baru ini membuka peluang untuk pelancong Muslim dan bukan Muslim mengenali sejarah dan warisan Arab Saudi dengan lebih mendalam lagi.

Namun, pelancong yang mahu mengunjungi Arab Saudi secara solo atau bebas tanpa khidmat ejen-ejen pelancongan perlu mengambil kira beberapa perkara.

Agensi-agensi pelancongan Islam tempatan Singapura memberitahu BERITAmediacorp, setakat ini mereka belum lagi menerima tempahan di bawah visa pelancong.

Namun, memandang ke depan, mereka tidak menafikan ia mampu menarik ramai pelancong wisata ke negara itu, yang rata-rata belum terbuka kepada khalayak antarabangsa.

Bagi anda yang sudah bersedia mencubanya pula, agensi-agensi tempatan ada beberapa nasihat terutama dalam soal penginapan, agar tidak berdepan dengan situasi 'terbengkalai'.

LANGKAH BAGI PENGINAPAN

Pengarah bagi Noor Mohamad Services and Travel Pte Ltd, Cik Juyda Noor Mohamad berkata rata-ratanya persiapan yang perlu diambil oleh pelancong ke umrah di bawah visa pelancong, sama seperti persiapan yang perlu dilakukan ke negara-negara lain.

Namun, beliau juga akur bahawa persiapan yang perlu diambil apabila melancong ke Arab Saudi perlu lebih ketat daripada negara-negera yang lain.

Dari aspek penginapan, Cik Juyda berkata langkah pertama ialah untuk mengelak melancong ke tempat itu pada tempoh sibuk. Misalnya apabila ramai jemaah menjalankan ibadah umrah pada bulan cuti sekolah Disember.

“Mereka pertama sekali harus tahu musim-musim yang mereka patut pergi, kerana di Arab Saudi ada musim yang para pelancong tidak boleh datang contohnya seperti, musim Haji dan selepas musim Haji, maksudnya tempoh daripada bulan Syawal hingga kepada Zulkaedah.

“Tempoh tersebut pelancong tidak boleh pergi, dan maknanya dengan adanya visa pelancong ia maknanya membuka ruang kepada pelancong untuk pergi kepada musim-musim lain iaitu pada musim Muharram dan selanjutnya hingga ke Syawal,” kongsinya.

Kedua, Cik Juyda berkongsi tentang persiapan tempahan hotel yang perlu dilakukan sendiri.

"Sekiranya tempahan tersebut dilakukan online maka para pelancong perlu sekali... mengesahkan tempahan tersebut dan berhubung dengan pihak hotel, dan memastikan sama ada tempahan tersebut sudah ada di dalam sistem hotel tersebut ataupun tidak," tekan beliau.

STANDARD PENGANGKUTAN SAMA SEPERTI SG

Bagi pengangkutan pula, Cik Juyda memberi jaminan bahawa ia selamat digunakan, memandangkan sistem di Arab Saudi serupa dengan Singapura dan ada khidmat ala Grab.

"Dari segi pengangkutan pula, sebenarnya kerajaan Arab Saudi telah membuat sistem di Singapura iaitu ada sistem teksi, dan juga sistem Grab jadi dari segi pengangkutan di sana sejauh ini ia amat boleh dipercayai, teksi mereka yang berada di lapangan terbang boleh dipercayai dan aplikasi Grab juga boleh digunakan di Arab Saudi, dari segi keselamatan sejauh ini Alhamdulillah," kongsi beliau lagi.

Namun sebahagian tempat tarikan di Arab Saudi adalah terpencil. Jadi penting untuk pelancong memastikan perjalanan mereka itu diketahui dan boleh dikesan bagi hal-hal kecemasan.

Beliau menarik perhatian bagaimana penting untuk pelancong Singapura mengetahui di mana terletaknya konsulat dan Kedutaan Singapura di Arab Saudi.

"Contohnya bagi Singapura, kita ada dua - satu konsulat di Jeddah dan juga satu Kedutaan Singapura di Riyadh. Jadi, para pelancong haruslah memberitahu sama ada konsulat di Jeddah ataupun di Kedutaan Singapura di Riyadh akan atur cara-atur cara mereka di keliling kerajaan Saudi," tambah Cik Juyda.

PENTINGNYA INSURANS

Satu lagi keperluan penting ialah soal perlindungan insurans perjalanan untuk isu-isu kesihatan, kemalangan, kematian atau sebagainya.

Anak syarikat Shahidah Travel, iaitu ST&T International, yang lazimnya menawarkan insurans umrah dan haji, merupakan antara yang menawarkan khidmat sedemikian.

"Saya rasa soalan yang saya selalu dengar ialah perlindungan, sama ada beza perlindungan dari segi jemaah yang mengambil visa umrah, dibandingkan dengan jemaah yang ambil visa pelancongan. Jadi, saya ingin memberi tahu yang kos itu sama.

"Dari segi perlindungan, kita pun tetap memberikan perlindungan yang sama seperti mana yang raih faedah sebelum ini apabila mereka menggunakan umrah visa juga," jelas Dr Ammar Ayoob Angullia, Pengarah ST&T International Pte Ltd.


ST&T juga bekerjasama dengan Pusat Perubatan Albayt di Arab Saudi.

Pusat Perubatan Albayt sudah mula meluaskan khidmat perubatannya bagi menyambut jumlah pelancong yang dijangka meningkat.

"Alhamdulillah sejak lapan tahun lalu kami berupaya berkhidmat kepada jemaah Singapura. Kami mampu menawarkan khidmat kecemasan.

"Jadi hari ini, jika ada kes kematian, kami akan membantu ST&T dan pelancong dan mempermudah seboleh mungkin," kongsi Encik Abdullah Mohamed Amin Zaher, Pengurus Pusat Perubatan Albayt.


Sektor pelancongan Arab Saudi kini memang lebih terbuka.

Ini seiring dengan program pembaharuan Wawasan 2030 di bawah Putera Mahkota Mohammad Salman bagi menyediakan ekonomi Arab terbesar itu menghadapi era pasca minyak.

Strategi Pelancongan Kebangsaan Arab Saudi kini mahu menjadi antara lima destinasi pelancongan teratas di dunia menjelang tahun 2030.

Pendapatan daripada pelancongan dianggarkan mencecah 10 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), berbanding 3 peratus sekarang.

Menurut laporan Saudi Gazette, lebih 77,000 visa pelancong sudah dikeluarkan kerajaan Arab Saudi bagi keseluruhan bulan Oktober. 

- BERITAmediacorp/tq

Top