Images
  • amp main

Mahu jadi peniaga dari rumah yang berjaya? Program Perniagaan Mikro AMP kini ambil peserta...

BERITAmediacorp: Sejak diperkenalkan pada 2015, seramai 630 peserta sudahpun mengikuti Program Perniagaan Mikro anjuran AMP.

Program itu bertujuan membimbing dan memperkasa para peniaga kecil-kecilan atau peniaga dari rumah dengan kemahiran berniaga.

Sejauh ini, sebanyak $78,000 sudahpun diagihkan kepada para peserta, termasuk hampir 70 geran modal bernilai $1,000 setiap satu.

AMP sedang membuka permohonan untuk anda yang berminat mengikuti program itu, dan pendaftaran ditutup pada Jumaat ini (31 Jan).

Antara peserta yang banyak meraih manfaat daripada program bimbingan perniagaan itu termasuklah Cik Norashidah Mohd Yasin dan Cik Norhazah Wati Senang. Bagaimana mereka menjadi peniaga lebih baik setelah mengikuti Program Perniagaan Mikro itu? Ini cerita mereka...

NORASHIDAH MOHD YASIN BINA KEK SEY BAKERY

Cik Norashidah Mohd Yasin terpaksa berhenti bekerja dan kehilangan sumber pendapatan utama selepas melahirkan anak kembarnya pada 2013.

Bukan itu sahaja cubaan yang perlu diatasinya. Beliau juga harus menjaga neneknya yang menghidapi demensia. Ini ditambah dengan kos rawatan serta perbelanjaan anak-anaknya yang semakin meningkat.

Lantaran itulah, setahun selepas bersalin, Cik Norashidah menubuhkan perniagaan makanannya sendiri, Kek Sey Bakery, walaupun tiada pengalaman berniaga.

“Saya rasa saya ada kurang keyakinan diri dalam mengendalikan perniagaan saya terutama sekali dalam bidang kewangan dan menggunakan teknologi maklumat untuk memasarkan produk-produk saya.

"Pasal kos pula, saya tidak begitu mahir membuat kos-kos seperti kurangkan kos pembaziran. Kewangan saya pun tidak begitu teratur,” akui Cik Norashidah kepada BERITAmediacorp tentang perjalanan awalnya menjadi peniaga kecil-kecilan.

Sungguhpun demikian, tekad beliau untuk menjadi peniaga berkobar-kobar sehingga beliau memutuskan untuk memasuki Program Perniagaan Mikro kelolaan AMP pada 2019.

Hasil tunjuk ajar yang diterima menerusi program enam bulan itu, Cik Norashidah mempelajari pelbagai strategi perniagaan dan menerapkannya dalam perniagaan beliau.

Misalnya, beliau lebih bijak mengendalikan kewangan sehingga dapat menjimatkan sebanyak $800 sebulan dalam kos perniagaan.

Malah, daripada pendapatan $600 sebulan, tempahan kek dan kuih-muihnya melonjak empat kali ganda, sehingga membolehkannya meraih pendapatan lebih $2,000 sekarang.

Cik Norashidah berkongsi bahawa sempena musim perayaan Tahun Baru Cina ini, pesanan untuk kek dan kuih-muihnya pula meningkat tujuh kali ganda berbanding bulan-bulan biasa.

NORHAZAH WATI SENANG

Seorang lagi peniaga dari rumah yang berjaya diperkasa melalui program yang sama termasuklah Cik Norhazah Wati Senang, 48 tahun.

Beliau juga mengaku bahawa sebelum memasuki Program Perniagaan Mikro, beliau tidak mempunya sebarang pengetahuan tentang perniagaan.

"Saya tak ada perniagaan langsung. Jadi, perancangan perniagaan itu memang tak ada. Cuma suka-suka. Jadi sewaktu Hari Raya, keluarga dan teman yang menziarah rumah, mereka rasa kuih dan kata sedap. Perancangan perniagaan tak ada. Jadi, apa yang orang tempah, itulah yang saya dapat. Jadi saya tak fikir pun macam mana nak kembangkan perniagaan saya dan macam mana nak pelbagaikan produk saya,” kata Cik Norhazah penuh jujur.

Malah beliau mengaku bahawa sebenarnya dirinya tiada kemahiran membuat kek yang mendalam dan "kekurangan sangat" dalam soal cara-cara hendak memasarkan produk jualannya itu.

Di rumah, Cik Norhazah mempunyai satu lagi cabaran. Iaitu beliau juga harus memberi tumpuan kepada membesarkan seorang anak perempuan yang mengalami gangguan skizofrenia.

Bagaimanapun semua itu dijadikan sebagai pembakar semangat untuknya. Cik Norhazah kemudian mendaftarkan diri untuk mengikuti Program Pernigaan Mikro AMP.

Di situlah pelbagai ilmu berniaga ditimbanya. Ini termasuklah cara-cara menguruskan perniagaan, cara menggunakan teknologi dan media sosial, serta kemahiran perdagangan.

Sejurus selesai mengikuti kursus tersebut, Cik Norhazah membuka perniagaan makanan diberi nama ZaKravelicious.

Ternyata, ilmu berniaga yang diamalkannya sangat berbaloi. Dalam bulan pertamanya sahaja, Cik Norhazah meraih pendapatan melebihi $2,000.

Beliau kemudian giat menggunakan media sosial untuk memasarkan produknya dan hasilnya, dalam tempoh setengah tahun sahaja, jumlah pengikutnya di Facebook bertambah tiga kali ganda kepada 800.

Tapi ini semua adalah suatu permulaan. Cik Norhazah memberitahu kami, beliau menyimpan satu impian yang lebih besar lagi. Beliau berharap, dalam tempoh lima tahun akan datang, beliau akan dapat menubuhkan satu perniagaan baru berciri keusahawanan sosial.

“Perancangan jangka panjang saya, saya ingin membuka kios di mana saya boleh bantu orang-orang seperti anak saya yang berkeperluan khas. Apa yang membuat saya nak meneroka dalam perniagaan membuat kek ini, ialah untuk memberi laluan kerjaya untuk anak saya,” ujar CIk Norhazah penuh harapan.

Bukan setakat impian, Cik Norhazah mengorak setapak lagi ke arah itu dengan mula berkongsi ilmu perniagaan kepada anaknya itu.

Menariknya, semasa dikunjungi BERITAmediacorp, anak Cik Norhazah sendiri yang menyediakan kek cawan berpelbagai rasa, mengikut cita rasanya.

Yang pasti, Cik Norhazah boleh disifatkan sebagai antara graduan AMP yang berjaya membina perniagaan kecil yang mantap selepas mengikuti kursus tersebut.

PEMOHONAN PROGRAM AMP SUDAH DIBUKA

Kini AMP berharap menjana lebih banyak lagi usahawan dari rumah seperti Cik Norashidah dan Cik Norhazah menerusi pengambilan terbaru Program Perniagaan Mikro 2020.

Anda yang berminat boleh mengambil borang penyertaan menerusi laman www.amp.org.sg

Program ini dibuka kepada rakyat Singapura yang berusia dari 21 hingga 50 tahun, dengan pendapatan keluarga tidak melebihi $4,000 keseluruhan atau $800 per kapita.

Para peserta boleh memilih untuk menjalani latihan dalam pelbagai bidang seperti kecantikan, makanan, menjahit atau aksesori perkahwinan. Mereka perlu mempunyai kemahiran asas atau pengalaman dalam bidang yang dipilih itu.

Antara bimbingan yang akan diberi termasuklah khidmat mentor dan penilaian prestasi, yang disediakan rakan program Pusat SME di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (SMECentre@SMCCI).

Mereka akan mempelajari modul-modul seperti perancangan dan pengurusan perniagaan, pengurusan data dan perakaunan serta pengenalan kepada media sosial.

Latihan enam bulan bagi program itu akan bermula pada bulan Februari.

Lebih menarik lagi, para peserta yang berpotensi juga mungkin menerima Dana Pembangunan Perniagaan Mikro AMP.

Dana itu menyediakan pinjaman wang tidak melebihi $2,000 tanpa faedah bagi graduan program tersebut untuk membuka perniagaan dengan segera atau memperluaskan lagi perniagaan mereka yang sedia ada.

Anda yang berminat boleh mendaftar di pejabat-pejabat AMP dan yuran pendaftaran S$200 atau S$300 dikenakan bergantung kepada pendapatan per kapita setiap pemohon.

- BERITAmediacorp/HK/ha

Top