Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah tolak permohonan tangguh One City Development ambil alih tapak kuil

Mahkamah Tinggi hari ini (29 Nov) menolak dengan kos, permohonan tiga penganut Kuil Sri Maha Mariamman untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman persetujuan sementara dan writ pemilikan oleh One City Development Sdn Bhd (One City), bagi mendapatkan semula tapak kuil itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah tolak permohonan tangguh One City Development ambil alih tapak kuil

Pihak berkuasa di luar bilik mahkamah. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 29 Nov 2018 12:25PM Dikemas Kini : 29 Nov 2018 12:29PM

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini (29 Nov) menolak dengan kos, permohonan tiga penganut Kuil Sri Maha Mariamman untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman persetujuan sementara dan writ pemilikan oleh One City Development Sdn Bhd (One City), bagi mendapatkan semula tapak kuil itu.

Hakim M. Gunalan membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas menolak permohonan plaintif, S. Thangaraju, 37 tahun, M. Mohanakrishnan, 59, dan S. Nagarajah, 52.

Selain One City, ketiga-tiga mereka turut menamakan K. Chellappa, Pengarah Perancang Bandar dan Desa Selangor, Kerajaan Negeri Selangor dan M. Nagaraju sebagai defendan.

Peguam Claudia Cheah Pek Yee yang mewakili One City ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir berkata, mahkamah membuat keputusan itu atas alasan antaranya, permohonan plaintif tiada lokus standi (hak bertindak) dan One City adalah pemilik sah tapak kuil berkenaan.

Ketiga-tiga plaintif memfailkan permohonan pada 12 Nov lalu bagi mendapatkan perintah penangguhan pelaksanaan penghakiman persetujuan sementara bertarikh 11 Mac 2014 dan writ pemilikan untuk mendapatkan semula hartanah kuil berkenaan pada 22 Nov 2018.

Permohonan itu dibuat berikutan plaintif sudah memfailkan saman terhadap kesemua defendan pada 10 Nov lalu, bagi menuntut antaranya, perintah injunksi bahawa defendan-defendan atau orang lain dilarang daripada masuk, dan berada atau menggunakan kekerasan untuk mendapatkan semula hartanah kuil itu.

Isu pemindahan kuil itu mencetuskan rusuhan di kawasan rumah ibadat berkenaan pada awal pagi Isnin (26 Nov) dan Selasa (27 Nov), yang menyaksikan seorang anggota bomba cedera parah selain perusuh turut membakar 23 kenderaan dan merosakkan cermin bangunan kompleks One City yang terletak satu kilometer dari kuil tersebut.

Sehingga hari ini (29 Nov) polis menahan 30 individu bagi membantu siasatan. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan