Images
  • smu hong
    Hoon Qi Tong, 25 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan mencabuli kehormatan wanita. 

Mahkamah Tinggi tolak rayuan hukuman penjara untuk pelatih SMU yang rakam wanita di tandas

SINGAPURA: Seorang hakim Mahkamah Tinggi pada Khamis (30 Jul) menolak rayuan para pendakwa yang meminta tempoh penjara selama lapan minggu dikenakan ke atas seorang lelaki berusia 25 tahun. Lelaki itu merakam video seorang wanita di sebuah pejabat ketika dia menjadi seorang pelatih pada 2017.

Hakim Rayuan Tay Yong Kwang memutuskan bahawa arahan penahanan selama 14 hari adalah wajar untuk membawa kesan "pencegahan dan hukuman" ke atas Hoon Qi Tong, yang tamat pengajian di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) tahun lalu.

Hoon dijatuhi hukuman di mahkamah daerah Disember lalu, untuk menjalani perkhidmatan masyarakat selama 130 jam dan penahanan tempoh singkat, selepas dia mengaku bersalah ke atas satu tuduhan menghina kehormatan seorang wanita.

Di bawah arahan penahanan singkat dia akan dipenjara selama dua minggu tetapi tidak akan mempunyai rekod jenayah selepas dibebaskan.

Satu lagi tuduhan jenayah menceroboh dipertimbangkan semasa pengadilan.

Pada mulanya, dia merakam video dari bawah skirt seorang rakan sekerja wanitanya. Namun tidak lama kemudian, dia hilang minat dengan rakaman seumpama itu.

Dia kemudian memutuskan untuk merakam wanita dalam tandas untuk melihat sama ada ia dapat memenuhi keinginannya.

Selepas gagal dalam dua percubaan, dia ditangkap sewaktu membuat kesalahan merakam seorang rakan sekerja di tandas wanita.

Dia tidak menafikan telah merakam wanita itu. Dia juga memadam video itu, selepas rakannya itu menyuruhnya berbuat demikian.

Hoon diberkas polis selepas wanita itu melaporkan perkara tersebut kepada majikannya. Dia juga dipecat dengan serta merta.

Apabila polis merampas telefon bimbit dan komputer ribanya, video yang dirakam dari bawah skirt dan di dalam tandas itu tidak dapat diperolehi semula.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah John Ng berkata bahawa arahan penahanan "tidak seharusnya dianggap sebagai pilihan yang ringan" kerana Hoon akan dikurung dan disekat kebebasannya.

Hakim Tay juga menarik perhatian jika Hoon melanggar arahan perkhidmatan masyarakat, dia boleh dijatuhi semula dengan hukuman lebih berat.

Hoon menjalani hukumannya dengan serta merta.

- TODAYonline/AY/fz

Top