Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Tinggi: Jurong Country Club tidak perlu bayar CPF Mohamed Yusoff Hashim

Jurong Country Club yang tidak lagi beroperasi tidak perlu membayar S$417,000 berupa sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) kepada seorang jurulatih gimnasium setelah Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Daerah sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Tinggi: Jurong Country Club tidak perlu bayar CPF Mohamed Yusoff Hashim

(Gambar fail: Calvin Oh)

Diterbitkan : 13 Jun 2019 03:36PM Dikemas Kini : 13 Jun 2019 03:56PM

SINGAPURA: Jurong Country Club yang tidak lagi beroperasi tidak perlu membayar S$417,000 berupa sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) kepada seorang jurulatih gimnasium setelah Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Daerah yang sebelum ini mendapati kelab tersebut bersalah atas tuduhan gagal melunaskan sumbangan CPF.

Ini kerana Encik Mohamed Yusoff Hashim bertugas di kelab itu sebagai kontraktor bebas dan bukan pekerja yang digajikan oleh kelab berkenaan, menurut Hakim Mahkamah Tinggi See Kee Oon dalam keputusan bertulis yang dikeluarkan pada Rabu (12 Jun).

Kelab itu didenda S$3,600 pada Jun tahun lalu, setelah Hakim Daerah Jasbendar Kaur memutuskan bahawa ia gagal membayar sumbangan CPF majikan kepada Encik Yusoff bagi tempoh selama empat bulan yang berasingan antara 2003 hingga 2016.

Hakim See membentangkan bagaimana untuk menentukan sama ada seseorang itu adalah pekerja bagi tujuan Akta CPF.

"Pendekatan fleksibel" patut diambil yang boleh disesuaikan berdasarkan pelbagai industri dan syarat-syarat kerja juga harus diambil kira, menurut beliau.

Mahkamah mesti meneliti hasrat yang dinyatakan oleh kedua-dua pihak semasa menandatangani kontrak, dan menimbangkan sama ada ia benar-benar mencerminkan hubungan kerja itu.

"Apabila kedua-dua pihak secara sengaja atau tidak menggunakan sesuatu istilah (misalnya, kontraktor bebas) yang tidak menggambarkan hubungan kerja yang sebenar, mahkamah tidak sepatutnya teragak-agak untuk berganjak daripada syarat-syarat yang ditetapkan dalam kontrak," ujar Hakim See.

Dalam kes tersebut, Hakim See berkata, bahan bukti bukan hanya menunjukkan kelab itu tidak menyifatkan Encik Yusoff sebagai seorang pekerjanya, malah beliau sendiri tidak menganggap dirinya sebagai seorang pekerja.

Hakim See dimaklumkan oleh pihak pendakwa bahawa kes itu mungkin mempunyai kesan lebih luas terhadap isu sama ada para majikan boleh mengelak tanggungjawab membayar sumbangan CPF kepada para pekerja.

"Hakikatnya adalah kontrak-kontrak (Encik Yusoff) dirundingkan dan diperbaharui hampir setiap tahun (setiap satu atau dua tahun) dan ini menunjukkan bahawa kedua-dua pihak memahami bahawa tugas yang dilakukan oleh Encik Yusoff bukan untuk pekerjaan sepenuh masa atau bagi tempoh yang tidak ditetapkan," kata Hakim See.

Ternyata "jelas" bahawa setiap kali Encik Yusoff menandatangani kontrak-kontrak beliau mengetahui bahawa beliau perlu membuat tokokan CPF sebagai pekerja yang bekerja sendiri.

Encik Yusoff memberi keterangan semasa perbicaraan di Mahkamah Negara bahawa beliau "terkejut" setelah kelab itu memberitahunya bahawa beliau akan diambil bekerja sebagai kontraktor sepenuh masa pada 1998, tetapi beliau menerima aturan kerja itu.

"Fakta-fakta menunjukkan bahawa Yusoff mempunyai kuasa tawar-menawar dan bukan mangsa eksploitasi," ujar Hakim See.

Beliau mendapati banyak faktor turut dipertimbangkan oleh hakim daerah seperti penggunaan sistem kad tebuk (punch card) untuk merakam waktu kerja sebagai faktor-faktor yang menggambarkan seolah-olah Encik Yusoff bukan kontraktor bebas atau pekerja yang digajikan.

Sebaliknya, terdapat beberapa faktor yang menyifatkan Encik Yusoff sebagai kontraktor bebas.

Misalnya, nama Encik Yusoff tidak terdapat pada senarai pekerja kelab itu bagi tujuan merancang belanjawan. Beliau juga tidak menjalani proses penilaiain prestasi, dan juga tidak mendapat faedah perubatan, cuti hospital atau cuti sakit.

Sumber : Today/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan