Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Syariah S'pura perjelas tidak terima sebarang permohonan cerai Sultan Kelantan

Tiada sebarang rekod kes perceraian antara Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dengan isterinya difailkan di Mahkamah Syariah Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Syariah S'pura perjelas tidak terima sebarang permohonan cerai Sultan Kelantan

Gambar Sultan Muhammad V dan isterinya yang tular di media sosial.

SINGAPURA: Tiada sebarang rekod kes perceraian antara Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dengan isterinya difailkan di Mahkamah Syariah Singapura.

Demikian penjelasan Mahkamah Syariah Singapura dalam satu kenyataan kepada BERITAmediacorp pada Jumaat (19 Jul).

"Harap maklum bahawa tiada rekod perceraian oleh pasangan tersebut di Mahkamah Syariah Singapura," bunyi kenyataan dari seorang pegawai mahkamah tersebut. 

Kenyataan itu sebagai menjelaskan laporan-laporan media yang menyebut bahawa perceraian antara Sultan Kelantan itu dengan Rihana Oksana Gorbatenko difailkan di Mahkamah Syariah Singapura.

Malah laporan-laporan yang tular itu menyebut bahawa tarikh rasmi pemfailan dokumen tersebut adalah 22 Jun di Mahkamah Syariah Singapura dan permohonan tersebut diluluskan pada 1 Julai.

Kesahihan kaitan Mahkamah Syariah Singapura dalam berita perceraian itu turut disangkal oleh seorang peguam veteran dan terkenal di Singapura.

Dalam catatan Facebooknya, peguam tersebut iaitu Encik Rohim Sarip menangkis laporan pihak media yang menerbitkan laporan tersebut dengan menulis:

"Kalaulah wartawan (yang menulis artikel berkenaan) merujuk dahulu dengan seorang peguam Singapura.

"Memandangkan 22 Jun adalah hari Sabtu, anda akan melihat pegawai keselamatan sahaja di Mahkamah Syariah! Tiada apa-apa boleh difailkan!"

Beliau selanjutnya menjelaskan duduk perkara berhubung perceraian membabitkan warga asing.

"Warga asing hanya boleh membuat pemfailan di Mahkamah Syariah Singapura jika satu pihak bermastautin di sini atau tinggal tetap di sini selama 3 tahun," jelas Encik Rohim.

Maka itu, kata beliau, berita sedemikian tidak seharusnya wujud sama sekali.

Catatan tersebut diakhiri dengan beliau sekali lagi menegaskan bahawa "jadi, tiada apa-apa yang berlaku di Mahkamah Syariah sini".

Sebelum ini juga, terdapat laporan menyatakan pasangan yang berkahwin kira-kira setahun lalu itu sudah bercerai talak tiga. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan