Images
  • s2
    Syed Suhail Syed Zin (kiri) dan peguamnya Encik M Ravi. (Gambar: Facebook/Ravi MRavi, Xabryna Kek)

Mahkamah Rayuan tolak permohonan oleh pengedar dadah yang dijatuhi hukuman mati

SINGAPURA: Mahkamah Rayuan pada Jumaat (16 Okt) menolak permohonan seorang pengedar dadah yang dijatuhi hukuman mati untuk kesnya dikaji semula. Dalam pada itu, mahkamah tersebut mengingatkan para peguam bela untuk tidak memandang ringan proses pengkajian semula serta tanpa alasan munasabah. Jika ini berlaku, mereka akan menghadapi sekatan kerana menyalahgunakan proses mahkamah.

Rakyat Singapura Syed Suhail Syed Zin, 44 tahun, dijatuhi hukuman mati pada 2015 kerana memiliki heroin untuk diseludup.

Dia sepatutnya digantung pada 18 Sep, tetapi hukuman itu ditangguhkan selepas peguam bela M Ravi memohon keputusan mahkamah pada 2018 itu dikaji semula.

Ini dikemukakan atas dua alasan, tetapi Mahkamah Rayuan pada Jumaat menolak permohonannya untuk keputusan itu dikaji semula.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Rayuan Andrew Phang Boon Leong berkata Syed, menerusi peguamnya, telah gagal menyediakan bahan mencukupi dan hakim-hakim tidak berpendapat terdapat sebarang ketidakadilan dalam prosiding jenayah.

Hakim Phang juga menekankan bahawa proses pengkajian semula tidak boleh dipandang ringan dan peguam bela tidak sepatutnya mengemukakan sebab tanpa asas munasabah.

Jika ini berlaku, mereka boleh disekat kerana menyalahgunakan proses mahkamah.

- CNA/NA/na

Top