Images
  • supreme court
    Gambar fail Mediacorp.

Mahkamah Rayuan tegakkan keputusan bebaskan pemandu bas M'sia dari tuduhan edar dadah

SINGAPURA: Keputusan untuk membebaskan seorang pemandu bas warga Malaysia daripada hukuman mati kerana mengedar dadah kepada seorang wanita di depan sebuah pasar raya pada 2014, ditegakkan oleh Mahkamah Rayuan pada Khamis (14 Okt).

Pihak pendakwa sebelum ini mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei 2021 untuk membebaskan Mangalagiri Dhruva Kumar daripada tuduhan mengedar sekurang-kurangnya 22.73gram diamorfin atau heroin, namun panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Besar Sundaresh Menon dan Hakim Judith Prakash serta Hakim Chao Hick Tin menolak rayuan itu pada petang Khamis.

Bercakap menerusi peguamnya Ramesh Tiwary, Encik
Mangalagiri memberitahu Mediacorp bahawa beliau "amat bersyukur kepada Tuhan dan sistem di Singapura".

BUTIRAN KES

Encik Mangalagiri dituduh menyerahkan beg mengandungi heroin kepada seorang wanita bernama Shanti Krishnan pada 16 Mei 2014, di luar pasar raya Sheng Siong di Woodlands Center Road.

Shanti kemudian menyerahkan dadah itu kepada seseorang bernama Zainudin Mohamed. Para pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) memberkas Shanti dan Zainudin pada hari yang sama.

Kedua-dua Shanti dan Zainudin dibicarakan dan Shanti dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana mengedar sekurang-kurangnya 22.73 gram heroin, sementara Zainudin pula didakwa pada 2016 kerana memiliki heroin bagi tujuan mengedarkannya.

Dia dikenakan hukuman mati dan dihukum gantung setelah rayuannya ditolak pada 2018.

Semasa disiasat, Shanti berkata dia mengambil heroin dari seorang pemandu bas berwarna hijau dan putih, dan mengenal pasti Encik Mangalagiri sebagai pemandunya setelah ditunjukkan 17 keping gambar. Encik Mangalagiri ditangkap di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada September 2015.

Pihak pendakawa berhujah bahawa Encik Mangalagiri mengedar heroin kepada Shanti sebanyak empat kali, dengan 16 Mei 2014 adalah kali terakhir dia berbuat demikian.

Encik Mangalagiri bertegas bahawa beliau tidak mengenali Shanti dan tidak pernah menyerahkan heroin kepadanya.

Hakim Valerie Thean membebaskan Encik Mangalagiri daripada tuduhan tersebut setelah mendapati bahawa kesalahannya tidak dapat dibuktikan di luar keraguan yang munasabah.

Satu-satunya bukti bahawa beliau membekalkan dadah itu kepada Shanti adalah keterangan Shanti, dan wanita itu tidak dapat mengingati pelbagai peristiwa berhubung urus niaga yang didakwanya berlaku.

- CNA/TQ/tq

Top