Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Rayuan benarkan sebahagian permohonan rayuan POFMA SDP

Parti Demokratik Singapura (SDP) memperoleh sedikit sebanyak kemenangan dalam permohonan rayuan di mahkamah.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Rayuan benarkan sebahagian permohonan rayuan POFMA SDP

Chee Soon Juan dan Paul Tambyah. (Gambar fail: Sarah Yang)

Diterbitkan : 08 Oct 2021 07:58PM Dikemas Kini : 08 Oct 2021 08:02PM

SINGAPURA: Parti Demokratik Singapura (SDP) memperoleh sedikit sebanyak kemenangan dalam permohonan rayuan di mahkamah terhadap arahan pembetulan yang dikeluarkan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA).

Ini kali pertama, Mahkamah Rayuan membatalkan sebahagian arahan pembetulan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) terhadap SDP atas kenyataan-kenyataan yang dibuat mengenai pengangguran di Singapura.

Sekalipun demikian, mahkamah mengekalkan lagi dua arahan pembetulan terhadap SDP serta satu lagi bahagian bagi arahan pembetulan yang ketiga.

Keputusan mahkamah setebal 156 muka surat yang menjadi titik perubahan itu dikeluarkan hari ini (8 Okt) oleh Hakim Besar Sundaresh Menon. Hakim Rayuan Andrew Phang, Judith Prakash, Tay Yong Kwang dan Steven Chong pula buat pertama kali membentangkan rangka kerja lima langkah bagi sesebuah mahkamah menentukan sama ada arahan pembetulan di bawah POFMA dibatalkan atau tidak.

Hakim Besar, yang menyampaikan keputusan itu, juga mengesahkan peruntukan POFMA dalam perlembagaan dan memutuskan bahawa beban membukti terletak ke atas individu yang membuat kenyataan yang didakwa sebagai palsu dan bukan menteri yang mengeluarkan arahan pembetulan tersebut.

Isu itu dipertikaikan dalam sesi perbicaraan yang berlangsung di mahkamah-mahkamah rendah sebelum dibawa ke Mahkamah Tinggi, dengan dua hakim Mahkamah Tinggi mengeluarkan keputusan berbeza. Satu, bahawa menteri perlu membuktikan kenyataan yang dibuat itu adalah palsu dan satu lagi bahawa responden perlu membuktikan kenyataannya adalah benar.

Hakim Besar Menon juga tidak bersetuju dengan hujah-hujah Peguam Negara yang mengatakan bahawa kepalsuan tetap satu kepalsuan. Malah sebelum sesebuah mahkamah memutuskan bahawa ia adalah palsu. Hakim Besar Menon berkata hujah itu "tidak dapat dipertahankan", bahawa satu-satu kenyataan itu diisytiharkan sebagai palsu kerana seorang menteri mengenal pasti kenyataan tersebut sedemikian.

"Menteri itu mungkin, tersilap," kata beliau. "Kebenaran dan kepalsuan adalah perkara yang hakikatnya perlu ditentukan oleh mahkamah berdasarkan bukti."

KES SDP

SDP menerima tiga arahan pembetulan daripada MOM pada Disember 2019 bagi tiga catatan.

Satu rencana online yang diterbitkan pada Jun 2019 bertajuk Population Policy: Hire S'poreans First, Retrench S'poreans Last; satu catatan Facebook pada November 2019 yang berkongsi pautan kepada rencana itu; dan satu iklan Facebook pada Disember 2019 yang mengandungi pautan kepada rencana tersebut dan juga graf dengan anak panah yang condong ke arah bawah bertajuk Local PMET Employment.

Menurut MOM graf SDP itu menunjukkan kemerosotan pada kadar pengambilan pekerja dalam kalangan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) tempatan dan itu adalah palsu. MOM juga mengeluarkan statistik yang menunjukkan kadar pengambilan pekerja PMET tempatan meningkat dengan stabil sejak 2015.

MOM juga menyatakan, kenyataan SDP bahawa usulannya dibuat "di tengah-tengah kenaikan jumlah PMET rakyat Singapura yang diberhentikan kerja" adalah palsu.

SDP dan peguamnya Suresh Nair merujuk kepada mahkamah untuk membatalkan tiga arahan pembetulan yang diterimanya, dengan pelbagai hujah termasuk beban bukti terletak ke atas menteri atau AGC dan apa yang menteri dakwa diperkatakan oleh SDP mungkin bukan apa yang dimaksudkan SDP.

SDP gagal dalam percubaannya untuk menolak arahan-arahan pembetulan itu di setiap peringkat sebelum ini - menteri menolak responsnya dan Mahkamah Tinggi pula menolak cabaran pertamanya.

Arahan pembetulan terhadap SDP yang sedikit sebanyak diterima rayuannya adalah berdasarkan iklan Facebook pada Disember 2019. SDP memuat naik iklan yang mengandungi pautan kepada satu rencana lama yang bertajuk SDP Population Policy: Hire S'poreans First, Retrench S'poreans Last.

Iklan itu juga mengandungi graf yang menunjukkan anak panah condong ke arah bawah, dengan tajuk Local PMET Employment.

MAKNA PERKATAAN 'LOCAL'

Mahkamah Rayuan mengetepikan sebahagian arahan pembetulan itu berdasarkan apa yang didakwa oleh menteri sebagai maksud graf tersebut, hakikatnya tiada dalam graf itu.

Menteri berkenaan percaya graf tersebut menunjukkan kenyataan palsu bahawa pengambilan pekerja PMET yang sama ada rakyat Singapura atau penduduk tetap sudah merosot.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati pembaca catatan itu mungkin memahami maksud perkataan 'local' dalam graf tersebut ditujukan hanya kepada rakyat Singapura.

Hakim Besar Menon mengakui bahawa secara keseluruhan, teras rencana SDP itu adalah untuk menyediakan huraian-huraian yang disasarkan kepada rakyat Singapura yang diberhentikan kerja daripada pekerjaan-pekerjaan PMET oleh warga asing dan tidak merujuk kepada penduduk tetap Singapura.

Mahkamah kemudian mengesahkan bahagian kedua arahan pembetulan itu, memandangkan kenyataan palsu yang mendakwa bahawa pemberhentian kerja dalam kalangan PMET tempatan sudah meningkat terkandung dalam rencana SDP yang pautannya tertera pada catatan yang dibuat pada Disember 2019.

Data MOM menunjukkan kenaikan dalam jumlah PMET tempatan yang digajikan dari 2015 hingga 2018 dari segi angka mutlak dan juga dari segi bahagian semua pengambilan pekerja tempatan.

Keputusan itu juga menyentuh satu lagi kes POFMA melibatkan The Online Citizen (TOC) - yang, meskipun kes berasingan, dibicarakan sekali dengan kes SDP.

Mahkamah menolak sama sekali rayuan TOC.  

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan