Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Negara lancar kemudahan sehenti khidmat kaunseling, psikologi

Mahkamah Negara melancarkan sebuah kemudahan sehenti yang menyediakan khidmat kaunseling dan psikologi bagi para pengguna mahkamah.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Negara lancar kemudahan sehenti khidmat kaunseling, psikologi

(Gambar fail: Xabryna Kek).

Diterbitkan : 09 Mar 2019 10:40AM Dikemas Kini : 09 Mar 2019 10:42AM

SINGAPURA: Mahkamah Negara melancarkan sebuah kemudahan sehenti yang menyediakan khidmat kaunseling dan psikologi bagi para pengguna mahkamah.

Pusat bagi Khidmat Pakar itu merupakan salah satu daripada 13 inisiatif yang diumumkan dalam pelan kerja terakhir Mahkamah Negara di premis sedia ada.

Mahkamah Negara dijadualkan berpindah ke Menara Mahkamah Negara menjelang 2020.

Ramai pengguna mahkamah berkunjung ke pusat tersebut bagi isu-isu berkaitan emosi dan psikologi. Misalnya, pusat itu menawarkan pemeriksaan awal bagi mereka yang disyaki mengalami penyakit mental.

Di bawah satu program baru yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, para pesalah bawah umur 21 tahun boleh mendapatkan bantuan sementara kes mereka dibicarakan.

Buat masa ini, usaha-usaha pemulihan bagi pesalah bentan hanya dijalankan selepas hukuman dijatuhkan. Namun, campur tangan pada peringkat awal adalah terbaik, menurut Hakim See Kee Oon, yang memimpin Mahkamah Negara.

Empat minggu selepas kes disebutkan di mahkamah, pusat tersebut bersama para belia akan melakarkan pelan yang disesuaikan dan ini mungkin termasuk pendidikan formal, latihan kejuruan seperti kursus-kursus memasak, kegiatan riadah dan membantu mereka mencari tempat tinggal.

Satu lagi program yang diumumkan melibatkan cara baru menghuraikan pertikaian antara dua pihak dalam kes tuntutan mahkamah melalui pendekatan memulihkan hubungan, seperti dalam pertikaian antara jiran.

Pihak-pihak tersebut dan masyarakat yang terjejas oleh konflik itu akan diajak menghuraikannya bersama dan bukan menuntut kes di mahkamah.

Cik Vanita Kaneson, kaunselor mahkamah kanan dan Ketua Pusat Khidmat Pakar berkata, kemudahan sehenti bagi semua program berbeza membolehkan mereka untuk memanfaatkan segala sumber dengan sebaiknya dan memahami dengan lebih baik keperluan pengguna mahkamah.

Inisiatif lain yang diumumkan adalah langkah memanfaatkan teknologi digital bagi mempertingkat khidmat-khidmat mahkamah. Salah satunya adalah Sistem Transkripsi Mahkamah Bijak (iCTS) hasil kerjasama antara Institut Penyelidikan Infokom A*STAR dengan Mahkamah Negara.

Menghasilkan sistem itu mengambil masa lebih dari setahun dan ia kini berupaya mengenal pasti istilah-istilah khusus bagi subjek-subjek tertentu seperti istilah perundangan dan perubatan, tanda baca dan loghat tempatan yang 90 peratus tepat.

iCTS dikatakan dapat memendekkan masa bagi transkripsi yang biasanya mengambil masa antara tiga hingga tujuh hari.

Satu kaedah online turut diperkenalkan bagi urusan sivil. Ia menyediakan panduan tentang prosedur yang perlu dijalani bagi kes-kes sivil. Ia juga membolehkan para pengguna memuat turun dokumen-dokumen dan borang-borang yang relevan.

Bagi kes-kes jenayah, para banduan yang ingin mendapatkan dokumen mahkamah tidak lama lagi boleh berbuat demikian secara online dari penjara. Buat masa ini, mereka perlu melalui proses yang mengambil masa antara lima hingga 10 hari sebelum boleh mendapatkan salinan kertas dokumen mereka daripada Mahkamah.

Mereka yang tidak mempunyai peguam tetapi memerlukan nasihat guaman juga boleh berbincang dengan para peguam di bawah Pusat Keadilan Masyarakat menerusi pautan-video.

Satu program perintis baru juga sudah disediakan kepada para pesalah dadah sejak Februari tahun ini.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan