Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah AS arahkan Mikhy Brochez 'segera' serahkan data HIV kepada pihak berkuasa S'pura

Lelaki rakyat Amerika Syarikat, Mikhy Farrera-Brochez, diarahkan oleh sebuah mahkamah di Amerika Syarikat pada Isnin (4 Mac) supaya "dengan segera" menyerahkan data yang diperolehi daripada daftar HIV Singapura dan semua maklumat sulit lain kepada pihak berkuasa Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Mar 2019 10:32AM Dikemas Kini : 07 Mar 2019 12:07AM

SINGAPURA: Lelaki rakyat Amerika Syarikat, Mikhy Farrera-Brochez, diarahkan oleh sebuah mahkamah di Amerika Syarikat pada Isnin (4 Mac) supaya "dengan segera" menyerahkan data yang diperolehi daripada daftar HIV Singapura dan semua maklumat sulit lain kepada pihak berkuasa Singapura.

Brochez, 34, mesti "memadamkan" semua maklumat yang diperolehi daripada Kementerian Kesihatan (MOH) dan Jabatan Penjara Singapura (SPS) daripada mana-mana komputer, peralatan, media penyimpanan atau laman web sebelum 29 Mac, menurut dokumen mahkamah.

Ini selepas MOM mengemukakan permohonan pada 14 Februari bagi mendapatkan injuksi awal dan perintah sekatan untuk menghentikan Brochez daripada membocorkan lebih banyak maklumat.

Perintah sekatan sementara diluluskan pada 19 Februari.

Semasa meluluskan injuksi awal pada Isnin (4 Mac), mahkamah itu juga mengarahkan Brochez supaya memadamkan semua catatan online dan bahan rujukan berhubung data berkenaan, serta memberikan bukti bahawa dia sudah melakukan demikian sebelum 29 Mac.

Brochez dituduh membocorkan maklumat peribadi 14,200 orang, yang disimpan dalam daftar HIV.

Brochez dipercayai mengirimkan emel yang mengandungi pautan-pautan daripada pangkalan data perubatan kepada beberapa syarikat media, termasuk Alvinology, Mothership, Straits Times dan CNN, dari Jun 2018 sehingga seawal Januari 2019 ketika menetap di Kentucky, Amerika Syarikat.

Pada 16 Februari, Brochez juga mengirimkan senarai yang mengandungi nombor kad pengenalan seramai 13 orang yang positif HIV kepada pihak berkuasa Singapura dan pihak-pihak media.

Sebelum ini, Brochez memberitahu Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bahawa dia akan membocorkan lebih banyak nama dan maklumat jika Pemerintah Singapura tidak membebaskan pasangannya, Ler Teck Siang, seorang rakyat Singapura.

Hakim Daerah Danny Reeves juga mengarahkan sesiapa yang menerima data daripada Brochez supaya menghapuskan maklumat tersebut.

MEREKA YANG DIKENAL PASTI MUNGKIN TERANCAM

Dalam permohonannya, MOH memberitahu mahkamah berkenaan bahawa individu-individu yang dikenal pasti oleh Brochez mungkin "dalam keadaan terancam" jika data mereka dibocor.

Dalam membuat keputusannya, Hakim Reeves berkata: "MOH menegaskan bahawa para individu dalam daftar HIV boleh berdepan dengan kesan yang mungkin tidak dapat dipulihkan kerana penyebaran maklumat itu mungkin menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan dan perlindungan insurans.

"Selain itu, MOH juga menegaskan bahawa stigma berkaitan HIV di Singapura mungkin mencetuskan ancaman lain terhadap mereka akibat dikenal pasti sebagai dijangkiti HIV."

Mahkamah itu menyatakan bahawa terdapat "kemungkinan" Brochez mencabuli undang-undang Amerika Syarikat, bukan sahaja Singapura, apabila dia membocorkan maklumat tersebut.

Mahkamah itu juga difahamkan bahawa terdapat kemungkinan Brochez akan "meneruskan niatnya untuk menyebarkan maklumat berkenaan jika injuksi awal tidak dikemukakan," dan dia juga berkali-kali mengancam untuk berbuat demikian.

Sebelum ini, Brochez didakwa di Amerika Syarikat kerana memindahkan secara haram dokumen-dokumen pengenalan diri yang dicuri serta memiliki dengan niat untuk mengedarkan dokumen-dokumen tersebut.

FBI juga memfailkan dua lagi tuduhan kerana mengeluarkan ancaman bagi tujuan memeras ugut dan memindahkan secara haram maklumat pengenalan diri seseorang menyusuli kegiatan haram.

Tuduhan-tuduhan itu membawa hukuman penjara selama tujuh tahun, namun pihak pendakwa raya boleh memohon tempoh hukuman penjara yang lebih panjang.

Jemaah juri dijangka akan dipanggil bagi menimbangkan sama ada untuk mendakwanya atas tuduhan-tuduhan persekutuan, tetapi ia mungkin mengambil masa selama beberapa minggu atau lebih sebelum keputusan dapat dibuat.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan