Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah arah siasatan terhadap dakwaan salah laku peguam Lee Kuan Yew

Seorang hakim Mahkamah Tinggi pada Rabu (21 Apr) meluluskan permohonan Dr Lee Wei Ling dan Encik Lee Hsien Yang bagi sebuah tribunal disiplin menyiasat dakwaan salah laku oleh bekas peguam mendiang ayah mereka, Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah arah siasatan terhadap dakwaan salah laku peguam Lee Kuan Yew

Dr Lee Wei Ling, Cik Kwa Kim Li dan Encik Lee Hsien Yang. (Gambar: AFP, TODAY)

Diterbitkan : 21 Apr 2021 09:42PM Dikemas Kini : 21 Apr 2021 09:43PM

SINGAPURA: Seorang hakim Mahkamah Tinggi pada Rabu (21 Apr) meluluskan permohonan Dr Lee Wei Ling dan Encik Lee Hsien Yang bagi sebuah tribunal disiplin menyiasat dakwaan salah laku oleh bekas peguam mendiang ayah mereka, Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew.

Hakim Valerie Thean mengarahkan Persatuan Undang-Undang (LawSoc) supaya membuat permohonan kepada Hakim Besar untuk melantik sebuah tribunal disiplin untuk memeriksa dua aduan adik-beradik Lee itu mengenai cara Cik Kwa Kim Li menguruskan wasiat mendiang Lee Kuan Yew.

Dalam penghakiman bertulis beliau, Hakim Thean memutuskan bahawa dua aduan yang ditolak oleh LawSoc tahun lalu harus disiasat.

Aduan itu menyatakan bahawa Cik Kwa tidak mengikut arahan mendiang Encik Lee Kuan Yew untuk menghapuskan wasiatnya yang terdahulu dan beliau telah memberikan Dr Lee Wei Ling dan Encik Lee Hsien Yang maklumat palsu dan mengelirukan.

Hakim Thean bagaimanapunmenolak satu aduan berhubung kegagalan Cik Kwa untuk menyimpan rekod dengan betul.

Cik Kwa, seorang rakan kongsi pengurusan di syarikat guaman Lee and Lee, menyiapkan enam wasiat bagi Encik Lee Kuan Yew antara 20 Ogos 2011 dengan 2 Nov 2012.

Beliau tidak menyediakan wasiat terawal mendiang yang bertarikh 7 Dis 1995 dan yang terakhir bertarikh 17 Dis 2013.

Dr Lee dan Encik Lee Hsien Yang, yang merupakan dua pelaksana estet bapa mereka, mengemukakan empat aduan pada September 2019 berhubung tingkah laku Cik Kwa.

ADUAN-ADUANNYA

Dalam surat aduan yang dihantar kepada LawSoc, bertarikh 5 Sep 2019, Dr Lee dan Encik Lee Hsien Yang menyenaraikan keprihatinan berikut:

- Cik Kwa gagal untuk mengikuti arahan Encik Lee Kuan Yew supaya menghapuskan wasiat-wasiatnya yang terdahulu

- Beliau melanggar hak istimewa dan tugas kerahsiaannya apabila menghantar emel dengan rekod perhubungannya bersama Encik Lee Kuan Yew kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang bukan pelaksana estet

- Beliau gagal menyimpan nota dan rekod yang betul bagi kesemua nasihat serta arahan daripada Encik Lee Kuan Yew

- Beliau memberi maklumat palsu dan mengelirukan kepada Dr Lee dan Encik Lee Hsien Yang dalam dua kiriman emel yang dihantar pada Jun 2015, dengan tidak menyertakan perbincangan serta emel pada November dengan Disember 2013 yang beliau saling berbalas dengan Lee Kuan Yew berhubung wasiat terakhirnya dan berhubung rumah mendiang di Oxley Road.

Isu rumah mendiang Encik Lee Kuan Yew di Oxley Road itu menjadi tumpuan utama perbalahan yang tercetus antara PM Lee dan adik-adiknya.
Ia kali pertama muncul pada tahun 2017, apabila Dr Lee Wei Ling dan Encik Lee Hsien Yang menerbitkan kenyataan,
menuduh PM Lee menyalahgunakuasanya untuk mencegah rumah tersebut dirobohkan.

Wasiat terakhir mendiang En Lee, pula disiapkan oleh Cik Lee Suet Fern, isteri kepada Encik Lee Hsien Yang.

Beliau digantung daripada berkhidmat selama 15 bulan pada November lalu disebabkan cara beliau menguruskan wasiat bapa mertuanya, mendiang Lee Kuan Yew.  

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan