Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahasiswa S'pura tarik diri, tangguh program pertukaran di Hong Kong sedang keadaan terus bergolak

Sebilangan mahasiswa dari universiti-universiti Singapura yang merancang untuk mengikuti program pertukaran di Hong Kong sudah menangguhkan rancangan mereka menyusuli tunjuk-tunjuk perasaan yang berlaku di bandar itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahasiswa S'pura tarik diri, tangguh program pertukaran di Hong Kong sedang keadaan terus bergolak

Universiti-universiti S'pura dan Hong Kong mengambil langkah bagi menjamin keselamatan mahasiswa semasa program pertukaran. (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Diterbitkan : 14 Aug 2019 09:30AM Dikemas Kini : 14 Aug 2019 09:39AM

SINGAPURA: Sebilangan mahasiswa dari universiti-universiti Singapura yang merancang untuk mengikuti program pertukaran di Hong Kong sudah menangguhkan rancangan mereka menyusuli tunjuk-tunjuk perasaan yang berlaku di bandar itu.

Tunjuk-tunjuk perasaan menjadi bertambah buruk sepanjang hujung minggu lalu sehingga menyebabkan semua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dibatalkan pada Isnin (12 Ogos).

Meskipun lapangan terbang itu dibuka semula pada Selasa (13 Ogos), namun para penunjuk perasaan terus berhimpun di lapangan terbang tersebut menyebabkan penerbangan terpaksa dibatalkan ataupun ditangguhkan.

Sementara itu, dua universiti di sini melaporkan bahawa segelintir mahasiswa sudah menarik diri daripada program-program pertukaran di Hong Kong manakala satu lagi universiti menyatakan bahawa kesemua mahasiswanya akan meneruskan dengan rancangan mereka di tengah-tengah keadaan huru-hara di bandar tersebut.

Universiti Nasional Singapura (NUS) memberitahu Mediacorp semalam (13 Ogos) bahawa kurang 10 daripada 130 mahasiswa yang dijangka menyertai program pertukaran di Hong Kong sudahpun menarik diri daripada program itu.

Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pula menyatakan sejauh ini, tiga mahasiswa sudah memohon untuk menarik diri daripada program tersebut.

NTU menyatakan lebih 40 mahasiswa biasanya menyertai program pertukaran di Hong Kong setiap tahun akademik.

Universiti Pengurusan Singapura (SMU) menyatakan tiada seorang pun daripada 17 mahasiswa yang bakal ke Hong Kong untuk menyertai program tersebut bagi penggal akan datang, melahirkan hasrat untuk membatalkan atau menangguhkan perjalanan mereka sehingga setakat Jumaat (9 Ogos).

"Kami akan terus memantau keadaan dan berurusan dengan rakan-rakan kami di Hong Kong serta mematuhi nasihat-nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA)," kata jurucakap SMU.

UNIVERSITI-UNIVERSITI AMBIL LANGKAH JAGA KESELAMATAN

Universiti-universiti di Singapura dan Hong Kong sedang berusaha untuk menjaga keselamatan para mahasiswa yang menyertai program pertukaran menerusi beberapa langkah.

Ini termasuk menawarkan taklimat keselamatan dan kecemasan, selain mendaftarkan para mahasiswa dengan International SOS iaitu sebuah syarikat yang menyediakan bantuan perubatan dan keselamatan kepada para pengunjung.

Universiti-universiti di Hong Kong menyatakan meskipun ia tidak menjangkakan tunjuk-tunjuk perasaan akan menjejas jumlah mahasiswa yang menyertai program tersebut tahun ini, namun ia sedang mengambil langkah-langkah bagi menjaga keselamatan para mahasiswa dari luar negara yang ke universiti-universiti di bandar itu sepanjang tempoh tersebut.

Jurucakap Universiti Politeknik Hong Kong berkata daripada lebih 800 mahasiswa yang mengunjungi universiti itu bagi menjalani program pertukaran setiap tahun, sekitar 20 adalah rakyat Singapura.

Bantahan-bantahan hanya diadakan di "kawasan terbatas" dan universiti itu akan "memberikan nasihat, bimbingan serta memberi sokongan kepada para mahasiswa tempatan dan mereka yang menjalani program pertukaran," kata jurucakap itu.

Universiti itu juga mengingatkan para mahasiswa menerusi kiriman emel supaya menjauhkan diri daripada kawasan-kawasan berisiko tinggi jika perlu.

Dalam kiriman emelnya kepada Mediacorp, Universiti Hong Kong menyatakan ia menyediakan sebuah kaunter bagi menyambut para mahasiswa asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong bagi memastikan mereka diiringi ke asrama-asrama dengan selamat.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan