Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahasiswa rakam wanita dalam tandas: Pendakwa tegas minta tertuduh dilarang keluar S'pura

Pihak pendakwa kemuka bukti baru dalam kes seorang lelaki tempatan yang sebelum ini diberi kebenaran oleh hakim untuk meninggalkan negara selepas dituduh merakam 11 wanita secara sulit.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahasiswa rakam wanita dalam tandas: Pendakwa tegas minta tertuduh dilarang keluar S'pura

Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 14 Jan 2020 11:56PM Dikemas Kini : 15 Jan 2020 12:01AM

SINGAPURA: Pihak pendakwa dalam kes seorang lelaki tempatan yang sebelum ini diberi kebenaran oleh hakim untuk meninggalkan negara selepas dituduh merakam 11 wanita secara sulit, hari ini (14 Jan) mengemukakan satu bukti baru untuk memastikan dia tidak dapat keluar dari Singapura dan identitinya didedahkan.

Timbalan Pendakwa Raya Foo Shi Hao dan Tan Zhi Hao berhujah bahawa lelaki berusia 22 tahun itu, yang merupakan mahasiswa di sebuah universiti ulung di Britain, tidak seharusnya dibenarkan meninggalkan Singapura untuk menyambung pengajiannya memandangkan dia berisiko melarikan diri. Malah dia juga dipercayai memberitahu seorang rakannya menerusi kiriman-kiriman mesej yang baru diperolehi, bahawa dia berniat untuk tidak kembali ke Singapura.

Kedua-dua timbalan pendakwa raya juga menggesa mahkamah agar membenarkan identiti lelaki itu didedahkan, sambil menambah kes ini "menjadi tumpuan orang ramai" dan 10 daripada 12 mangsa yang dikenal pasti mahu identiti mangsa didedahkan.

Setelah mendengar hujah-hujah tersebut serta hujah peguam bela Kalidass Murugaiyan selama satu jam setengah, Hakim Daerah Adam Nakhoda berkata beliau perlu mempertimbangkan dokumen-dokumen baru dan menangguhkan kes tersebut kepada petang Khamis (16 Jan), meskipun beliau "berat hati untuk menangguhkan kes ini".

Tertuduh dan nama universitinya tidak boleh didedahkan kerana arahan mahkamah masih berkuat kuasa bagi melindungi identiti para mangsa.

Sebelum ini, 11 wanita dikenal pasti sebagai mangsa. Namun, seorang lagi mangsa, iaitu mangsa ke-12, baru tampil dan ini memberikan pihak pendakwa hujah baru yang dibentangkan di hadapan hakim hari ini.

Hakim juga sebelum ini meluluskan permintaan tertuduh, yang berdepan 20 tuduhan kesemuanya serta dituduh merakam wajah dan kemaluan wanita dalam tempoh tiga tahun, untuk meninggalkan Singapura bagi menghadiri penggal kedua universiti di luar negara.

Bagi menghalang permohonan tertuduh itu, pihak pendakwa meminta mahkamah untuk menimbangkan keputusan untuk membenarkannya meninggalkan Singapura, dengan menunjukkan kiriman-kiriman mesej antara tertuduh dengan rakan-rakannya.

KIRIMAN MESEJ BARU DEDAH RANCANGAN LARIKAN DIRI

Menerusi kiriman-kiriman mesejnya, tertuduh mendedahkan "rancangannya' untuk melarikan diri dengan mendapatkan suaka, kata Encik Foo, dan untuk "mengelak daripada masalah tertentu jika dia terus berada di Singapura".

Dalam salah satu kiriman mesej kepada rakannya, yang dibacakan di mahkamah tadi, tertuduh mengatakan: "Saya percayakan awak sebab itu saya beritahu perkara ini. Saya tidak akan pulang (ke Singapura)".

Satu lagi kiriman mesej berbunyi: "Saya boleh tinggal di sini tetapi itu bermakna - secara metafora - satu kematian."

Menurut Encik Foo, tertuduh takut untuk berdepan undang-undang dan dia adalah "lelaki yang merancang untuk lari daripada undang-undang".

Apabila ditanya oleh rakannya sama ada dia akan mendapatkan suaka, tertuduh menjawab: "Itulah rancangan saya."

Dia malah menjelaskan kelebihan dan kekurangan perancangannya itu, sambil membandingkan "masalah tertentu" jika dia terus berada di Singapura dengan keadaan yang belum pasti jika dia lari meninggalkan negara dan mendapat suaka.

Dia menulis: "Secara jujur, selepas kesalahan pertama, tidak ada insentif untuk saya tidak terus cuba berbohong atau melarikan diri."

Meskipun dia tidak melarikan diri apabila diberi kebenaran meninggalkan negara pada tahun lalu, pada waktu itu dia hanya berdepan dua tuduhan dengan kemungkinan dijatuhi hukuman probesen. Namun sekarang dia berdepan 20 tuduhan dan mungkin dipenjara.

Terdapat juga video-video yang dijumpai dalam peralatan mudah alih milik tertuduh termasuk satu yang menunjukkan dirinya sendiri, menurut pihak pendakwa.

"Risiko dia melarikan diri begitu besar (untuk para mangsa) tanggung," tegas Encik Foo. "Kami menggesa hakim menimbangkan kemungkinan kesannya."

Seorang rakan yang menjadi tempat tertuduh mengadu selepas dia didakwa pada bulan Oktober tahun lalu, kemudian baru mendapat tahu dirinya sendiri menjadi mangsa. Tidak dapat dipastikan bila beliau tampil sabagai saksi, tetapi dia adalah mangsa ke-12 yang sudah dikenal pasti.

Beliau menulis afidavit sebagai menyokong pihak pendakwa, sambil menyatakan bahawa beliau rasa tertipu dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran dan peperiksaan.

Beliau juga menulis bahawa beliau berasa kesuciannya diragut oleh tertuduh dan mahu perkara itu dimuktamadkan secepat mungkin.

PERHATIAN AWAM LEBIH PENTING DARI RISIKO DEDAH IDENTITI

Bagi permintaan kedua, iaitu agar identiti tertuduh didedahkan, pihak pendakwa Tan Zhi Hao menekankan dua perkara: bahawa kes ini menjadi perhatian umum dan masyarakat mahu identitinya didedahkan dan tiada sebab penting untuk identitinya disembunyikan.

Beliau menekankan sebab utama arahan merahsiakan identiti seorang tertuduh adalah untuk melindungi kebajikan mangsa dan hanya diberikan kepada tertuduh "dalam kes-kes tertentu", di mana apabila identitinya didedahkan ia berkemungkinan mendedahkan juga identiti mangsanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Tan berkata pihak pendakwa meminta agar identiti tertuduh didedahkan atas permintaan 10 daripada 12 mangsanya. Ini meskipun mereka tidak meminta demikian pada awal prosiding kerana siasatan masih dijalankan.

"Saya menekankan, daripada 12 mangsa yang dikenal pasti, 10 meminta agar identiti tertuduh didedahkan," kata Encik Tan.

"10 mangsa ini adalah wanita dewasa yang tahu bahawa ini mungkin mendedahkan identiti mereka juga. Mereka berasa tertuduh tidak sepatutnya bersembunyi di sebalik arahan mahkamah itu."

Salah seorang daripada baki dua mangsa pula "melahirkan rasa ragu". Manakala seorang lagi mangsa berusia 16 tahun dan dia tidak ditanya atas permintaan keluarganya.

Encik Tan berkata pihak pendakwa tahu tentang risiko identiti mangsa terdedah tetapi menambah bahawa "perhatian awam terhadap kes ini jauh lebih penting berbanding risikonya terhadap mangsa."

Encik Tan menambah risiko sedemikian boleh ditangani dengan mengawal maklumat yang diberikan kepada media.

KIRIMAN MESEJ TERTUDUH SATU TANDA LEPAS EMOSI, DIA CENDERUNG BUNUH DIRI, KATA PEGUAM BELA

Memberikan hujahnya tentang risiko anak guam melarikan diri, peguam bela Kalidass Murugaiyan memberitahu mahkamah bahawa kiriman-kiriman teks itu mesti "dilihat sepenuhnya".

Beliau berkata anak guamnya sedang "melepaskan emosi" kepada rakan-rakannya - yang kemudian mengetahui bahawa dia mungkin salah seorang mangsa - kerana dia mengirimkan mesej kepada mangsa pada malam selepas didakwa dan itu disifatkan oleh tertuduh sebagai "pengalaman yang mengganggu perasaan".

Tertuduh juga membaca akhbar tentang perincian kes termasuk bila penggal pengajiannya akan bermula sekali gus memungkinkan identitinya terdedah dan dia amat kecewa, kata Encik Kalidass.

"Malah dalam kalangan rakan-rakannya juga mereka sudah mula menuding jari ke arahnya dan mengatakan dia mungkin pesalah dalam kes ini," tambah beliau.

Encik Kalidass juga melampirkan laporan perubatan yang menunjukkan anak guamnya mengalami gangguan emosi dan kemurungan dan kerap berjumpa doktor sejak 2016.

Beliau menyifatkan kiriman mesej anak guamnya sebagai "luahan" dan berkata anak guamnya secara tidak langsung mahu membunuh diri apabila menyebut tentang kematian.

Encik Kalidass memetik mesej-mesej yang dihantar kepada seorang lagi rakan, sehari selepas tertuduh didakwa, apabila tertuduh mengatakan dia sedar bahawa perbuatan melarikan diri bukan sesuatu yang wajar.

Tertuduh juga menulis: "Saya perlu mati. Pembatalan kes disebabkan kematian akan menutup kes ini. Tidak mengapa saya bersalah atau tidak. Pendeknya perkara itu diatasi."

Dia memberitahu rakannya bahawa dia akan menamatkan hidupnya dan dihubungi oleh Samaritans of Singapore.

"Hakikatnya, Yang Arif... itu hanya kata-kata, tetapi perbuatan lebih mendedahkan maksud. Perbuatannya menunjukkan bahawa dia sudah kembali," kata Encik Kalidass, merujuk kepada anak guamnya yang kembali ke mahkamah untuk menghadiri sesi perbicaraan tahun ini selepas dibenarkan keluar dari Singapura tahun lalu.

Beliau juga bertanya kepada pihak pendakwa mengapa mereka tidak meminta arahan merahsiakan identiti tertuduh sebelum ini, sambil menambah "kita tidak tahu" jika para mangsa betul-betul faham apa maknanya sekiranya arahan merahsiakan identiti itu ditarik balik.

Encik Kalidass juga menekankan bahawa para mangsa datang daripada "sekumpulan orang yang saling mengenali antara satu sama lain", sambil menambah salah seorang daripada mereka juga melahirkan kebimbangannya.

"Saya rasa pihak pendakwa mesti menjelaskan mengapa pada 3 Januari (iaitu perbicaraan sebelum ini) mereka tidak meminta agar identiti tertuduh didedahkan," tegas Encik Kalidass.

"Saya rasa penting untuk mereka menjelaskan kepada mahkamah apa yang berlaku antara 3 Januari dengan 14 Januari."

Pihak pendakwa kemudian menjawab bahawa soalan tersebut "langsung tidak relevan" kerana mereka mengambil masa untuk menghubungi dan menghampiri semua mangsa yang dikenal pasti dan pendedahan identiti tertuduh tidak semesti bermakna identiti mangsa juga secara automatik terdedah.

KITA BOLEH DEDAHKAN IDENTITI, KAWAL MAKLUMAT MANGSA, KATA PENDAKWA

Menjawab hujah-hujah peguam bela itu, Encik Tan berkata: "Apa yang kami katakan ialah kita dedahkan identiti tertuduh namun rahsiakan perincian hubungannya dengan mangsa, dan ini di dalam bidang kuasa mahkamah."

Rakan sejawatannya, Encik Foo, pula menjawab hujah peguam bela dan berkata jelas terdapat kekurangan percubaan untuk menjelaskan penggunaan perkataan suaka dalam kiriman mesej tertuduh.

"Jika dia hanya berniat untuk membunuh diri, tidak perlu menyebut tentang suaka, tidak perlu pertimbangkan kelebihan dan kekurangan terus menetap di sini atau melarikan diri," tegas Encik Foo.

Dari segi sama ada kematian yang disebut tertuduh itu adalah secara metafora atau tidak, rakan tertuduh ada menyatakan "matilah masa depan kamu", yang kemudian tertuduh membalas "Ya, lebih kurang begitulah."

Encik Foo menekankan bahawa "kematian" di sini merujuk kepada masa depan tertuduh dan bukan secara literal.

Hakim Nakhoda kemudian menangguhkan keputusannya kepada petang Khamis (16 Jan).

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga setahun, didenda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan mencabul kehormatan wanita. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan