Images
  • NUS fail
    Gambar fail NUS. 

Mahasiswa NUS persoal tindakan disiplin; usul hukuman lebih berat

SINGAPURA: Hukuman lebih berat yang disarankan oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) terhadap mahasiswa yang melakukan kesalahan seksual menimbulkan tanda tanya dan pandangan yang bercampur-campur dalam kalangan mahasiswa pada Rabu (15 Mei).

Sesetengah mahasiswa turut menanyakan sama ada hukuman buang sekolah - yang disarankan bagi kesalahan-kesalahan serius - akan dikenakan sebagai satu keputusan mutlak dan para mahasiswa juga mempersoalkan bagaimana definisi kesalahan-kesalahan serius ditakrif.

Cik Monica Baey, mahasiswi yang mencetuskan perdebatan sengit mengenai isu tersebut dengan siri catatan Instagram mengenai pengalamannya sendiri sebagai mangsa pengintipan, memberitahu Mediacorp: "Saya berpendapat ini adalah satu permulaan yang sangat baik". Namun beliau menambah butiran lanjut mengenai saranan-saranan tu masih diperlukan.

Dalam notanya kepada para pensyarah, pekerja dan mahasiswa NUS pada pagi Rabu (15 Mei), pengerusi jawatankuasa semakan itu, Kay Kuok menggariskan beberapa saranan untuk "memperkasa tindakan terhadap salah laku seksual".

Butiran saranan-saranan itu sedang dihasilkan dan pihak universiti akan berunding dengan para mahasiswa, siswazah dan pakar, menurut NUS.

TIMBUL LEBIH BANYAK TANDA TANYA?

Antara soalan-soalan yang dikemukakan para mahasiswa adalah sama ada mereka yang dibuang sekolah akan dibenarkan untuk diambil masuk pada masa akan datang.

Mahasiswa tahun kedua perhubungan dan media baru Chea Rui Xuan, 20 tahun berkata: "(Saranan-saranan itu) menimbulkan lebih banyak pertanyaan daripada jawapan, pada hakikatnya. Apakah yang disifatkan sebagai kesalahan serius? Di mana perbezaannya?"

Mahasiswa tahun kedua undang-undang Ryan Leow, 21 tahun, berkata, kes mengintip yang disyaki berlaku pada Sabtu lalu menunjukkan langkah-langkah sedia ada lemah dari segi kesan pencegahan. Ia berlaku meskipun terdapat kesedaran lebih tinggi menyusuli insiden melibatkan Cik Monica Baey yang membawa kepada semakan yang sedang dijalankan sekarang.

"NUS perlu berpendirian lebih tegas terhadap para pesalah, lebih-lebih lagi apabila mengambil kira kesan yang dihadapi para mangsa yang mudah terdedah kepada bahaya," kata Encik Leow.

Sedang jawantakuasa semakan tersebut menyarankan penggantungan sekurang-kurangnya setahun bagi kesalahan-kesalahan seksual, Encik Leow berkata kesemua pesalah seksual patut dibuang sekolah.

Para mahasiswa juga menginginkan penjelasan mengenai saranan supaya transkrip universiti para pesalah menyatakan penggantungan mereka. Catatan itu akan kekal dalam transkrip bagi tempoh yang tidak ditetapkan setelah pesalah berkenaan memperoleh ijazah.

Meskipun para pesalah boleh dipulihkan, Cik Chng Hui Ru, 21 tahun, berkata, mereka juga perlu dipertanggungjawabkan atas kelakuan mereka.

"Saya tidak fikir catatan tetap akan memusnahkan kehidupan mereka, tetapi jika ia dipadamkan pada suatu ketika nanti, ia tidak berkesan mencegah mereka yang mungkin membuat kesalahan," kata mahasiswa tahun kedua kesusasteraan itu.

Ramai mahasiswa yang mempertikaikan bagaimana mahasiswa Nicholas Lim boleh mendapatkan pekerjaan di firma insurans Great Eastern semasa dia digantung daripada NUS kerana merakam Cik Baey secara sulit ketika beliau sedang mandi di asrama pada November tahun lalu.

'MENJAGA MARUAH'

Dekan Mahasiswa NUS Peter Pang juga mengirimkan emel pada Rabu untuk menggalak para mahasiswa supaya menyertai tinjauan maklum balas online dan sesi-sesi perbincangan yang akan diadakan sepanjang dua minggu akan datang.

Setelah selesai rundingan-rundingan itu, jawatankuasa semakan akan menerbitkan laporan muktamad sebelum pertengahan Jun.

Mengulas tentang perkembangan baru-baru ini, Persatuan Kajian dan Tindakan Wanita (Aware) menyatakan perubahan rangka kerja disiplin mesti memastikan "maruah kesemua pihak dipelihara".

Selain daripada tindakan-tindakan yang disarankan, mahasiswa Daryl Yang, 25 tahun, berkata, proses aduan mesti diperkukuh supaya para mangsa kesalahan seksual "berasa selamat dan menerima sokongan untuk membawa para pesalah ke muka pengadilan".

"Terdapat terlalu banyak kes kesalahan seksual yang dibiarkan tidak dilaporkan," kata mahasiswa tahun akhir undang-undang dan sastera liberal itu.

Jawatankuasa semakan menyarankan penubuhan unit jagaan bagi para mangsa kesalahan seksual yang akan menyediakan sokongan sehingga jagaan khas tidak diperlukan lagi.

- TODAY/ZM/sm

Top