Images
  • upskirt
    Gambar hiasan. 

Mahasiswa NTU dijel kerana rakam video bawah skirt

SINGAPURA: Seorang mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) hari ini (8 Jan) dijatuhi hukuman penjara selama 15 minggu kerana merakam video bawah skirt beberapa wanita.

Mahasiswa berusia 24 tahun itu, yang tidak boleh dinamakan bagi melindungi identiti para mangsa, melakukan tindakan itu terhadap sekurang-kurangnya tujuh wanita antara Mei hingga Julai 2017.

Beberapa mangsa adalah sahabatnya, sementara yang lain termasuk rakan-rakan kerjanya di sebuah syarikat perakaunan di mana dia menjalani program latihan amali.

Pelaku, yang selesai tahun terakhirnya dalam bidang perakaunan pada Mei tahun lalu, belum mendapat ijazah kerana pihak universiti menahan keputusannya, kata peguam bela, Encik Kelvin Ong.

Dia mengaku bersalah atas enam dakwaan mencabul kehormatan wanita, dengan 12 lagi dakwaan lain turut dipertimbangkan.

Mahkamah diberitahu bahawa mahasiswa tersebut mula menyukai video-video bawah skirt selepas dia melihatnya di laman Sammyboy. Dalam satu kejadian, pelaku itu sedang mencari bahan-bahan pornografi dan mendapati satu laman yang mana para pengguna membincangkan tentang satu aplikasi telefon bijak yang membolehkan para pengguna mematikan paparan skrin sementara merakam video.

Dia kemudian memuat turun aplikasi itu dan merakam sekurang-kurangnya 17 video bawah skirt, serta satu video yang merakam bahagian dalam blaus seorang wanita.

TERTUDUH DIDIAGNOSIS DENGAN TABIAT SUKA INTAI

Pelaku hanya berdiri sambil menundukkan kepalanya di mahkamah pada Selasa (8 Jan), sedang peguam belanya memberitahu hakim bahawa dia didapati mengalami tabiat suka mengintai (voyeurisme) dan sangat menyesal serta malu.

Menjawabnya, Timbalan Pendakwa Raya Kong Kuek Foo berkata bahawa keadaan mental lelaki itu tidak menghalangnya daripada mengawal diri dan bertindak sewajarnya.

Pihak pembelaan kemudian berkata bahawa tertuduh secara sukarela mendapatkan rawatan di Institut Kesihatan Mental secepatnya selepas ditangkap dan sudah meminta maaf secara langsung kepada sekurang-kurangnya seorang mangsa.

Dia mendakwa tidak lagi berminat merakam atau menonton video-video bawah skirt dan mengalihkan tumpuannya kepada muzik dan kerja-kerja sukarela di gereja.

Dia tidak dapat mengambil ijazahnya, kata peguam bela, dan reputasinya "teruk terjejas".

Bercakap kepada tertuduh, Hakim Daerah Kessler Soh berkata: "Kesalahan-kesalahan yang anda sudah lakukan, merakam video-video gadis... sangat tidak wajar."

Hakim selanjutnya berkata, beliau akan menjatuhkan hukuman lebih berat jika tidak kerana usianya yang muda dan masa depannya.

Hakim membenarkan tertuduh bercakap bersama keluarganya selama 10 minit sebelum dibawa menjalani hukuman. Telefon bimbitnya turut dirampas dan dimusnahkan. 

- CNA/AQ/aq

Top