Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahasiswa, belia-belia berisiko ganding bahu bantu masyarakat memerlukan

Dua kumpulan belia bergabung tenaga hujung minggu lalu untuk menabur bakti kepada masyarakat yang memerlukan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dua kumpulan belia bergabung tenaga hujung minggu lalu untuk menabur bakti kepada masyarakat yang memerlukan.

Semua itu dilakukan menerusi kerjasama empat pihak dalam projek #PARADIGMA yang ingin mendampingi belia-belia berisiko.

Projek itu dirintis Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura.

JALIN PERSAHABATAN UNTUK SEBARKAN KEBAIKAN

Empat penerima bantuan Pertapis mendapat khidmat pembersihan khas oleh para penghuni Pusat Pemulihan Masyarakat (CRC) pada Sabtu lalu.

Usaha mereka itu lebih istimewa lagi kerana mereka berganding bahu dengan anggota Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS).

Projek #PARADIGMA anjuran PBMUKS i ingin mengajak belia-belia berisiko sama-sama memperkasa potensi mereka ke arah kebaikan.

DAMPINGI ANTARA SATU SAMA LAIN, TANGKIS STEREOTAIP MASYARAKAT

Daya usaha tersebut mendapat sokongan padu sekumpulan bekas pesalah daripada Projek Reben Kuning yang turut menyingsing lengan sambil berkongsi pengalaman agar dapat diteladani para belia itu.

"Kami juga ingin menggalakkan perubahan dari segi pemikiran masyarakat terhadap para bekas banduan dan juga belia berisiko kerana walaupun mereka telah melakukan kesilapan tetapi ada juga dalam kalangan mereka yang berpotensi besar dan berazam untuk berubah," kata Pengarah Projek dari PBMUKS, Imran Ismail.

"Oleh itu, saya merasakan bahawa masyarakat harus memberikan mereka semangat dan juga bersangka baik terhadap mereka," tambahnya lagi.

Gabungan empat pihak ini dialu-alukan Setiausaha Parlimen Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin sebagai peluasan baik kempen 'Dadah Itu Haram'.

Ia memandangkan golongan belia CRC dan bekas pesalah ini pernah terjebak dalam najis dadah.

"Jadi ini usaha yang sangat baik kerana ia lebih dari bercakap tapi bertindak dan sama-sama menyingsing lengan untuk memperbaiki masyarakat kita, memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan," ujar Encik Amrin.

"Saya gembira mereka menunjuk ajar bukan dengan kata-kata tapi dengan tindakan. Itu pada saya lebih efektif dan saya mengalu-alukan usaha ini," kata beliau lanjut.

#PARADIGMA TIDAK HENTI SETAKAT DI SINI

Bagi para peserta sendiri, sumbangan ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan penghargaan yang diluahkan penerima bantuan.

"PERTAPIS TAJ mengadakan pembersihan rumah ke rumah pada tiap-tiap bulan. Dan kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan pihak-pihak yang tertentu serta sukarelawan semua," kongsi Eksekutif Projek dari Pertapis, Sufian Noor.

Kegiatan sepetang itu menarik penglibatan sekitar 60 peserta.

Masa yang mereka luangkan bersama mungkin hanya seketika, namun persahabatan yang sudah terjalin membakar semangat mereka untuk melanjutkan lagi projek #PARADIGMA.  

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan