Images

Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah tidak lagi ada kaitan dengan Irsyad Trust Limited

SINGAPURA: Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah kini tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan Irsyad Trust Limited (ITL) sejak Januari 2021.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli semasa menjawab soalan parlimen semalam (5 April) yang diajukan oleh Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Faisal Manap.

Encik Faisal yang antara lain ingin tahu sama ada ITL masih lagi ada kaitan dengan Madrasah Irsyad dan jika ada sebarang pemindahan dana dari Madrasah Irsyad kepada ITL antara 2013 hingga 2020.

Encik Masagos berkata ITL yang sebelum ini dikenali sebagai Irsyad Foundation Limited ditubuhkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Irsyad atau MMC pada 2006 dan merupakan sebuah syarikat berasingan.

Pada 2014, MMC Madrasah Irsyad memindahkan fungsi-fungsi antarabangsanya kepada ITL.

Dalam jawapan bertulis itu, Encik Masagos mengatakan satu audit tahunan dilakukan pada tahun 2016 ke atas akaun Madrasah Irsyad.

Ketika itulah MMC didapati meluluskan satu pemindahan dana S$2 juta kepada ITL bagi operasi antarabangsanya, kata Encik Masagos.

MUIS kemudian meminta ITL supaya membayar semula wang itu kepada Madrasah Irsyad dan ITL memulangkan wang S$2 juta itu sepenuhnya kepada Madrasah Irsyad pada tahun yang sama.

Menyusuli satu semakan yang dijalankan pada tahun 2020 pula, Madrasah Irsyad memutuskan untuk "tidak lagi mengutamakan projek-projek antarabangsa".

Madrasah Irsyad dan ITL kemudian mencapai persetujuan bahawa kedua-dua institusi tidak lagi mempunyai kaitan antara satu sama lain berkuat kuasa Januari tahun ini.

Ini bermakna, ITL tidak lagi boleh menggunakan jenama Madrasah Irsyad untuk projek-projeknya di luar negara.

Encik Masagos juga mendedahkan bahawa MUIS sudah mengarahkan supaya transaksi kewangan antara Madrasah Irsyad dan ITL disemak.

Semakan itu sedang berlangsung, jelas beliau.

Tambahnya lagi, MUIS akan menimbangkan tindakan lanjut yang perlu diambil, bergantung kepada dapatan semakan itu. 

- BERITAmediacorp/tq

Top