Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Madrasah Alsagoff cuba cara baru: Kumpul dana menerusi 'talk show'; persembahan Raihan

Buat julung-julung kalinya usaha mengumpul dana bagi Madrasah Alsagoff Al Arabiah dilakukan menerusi cara unik, berbentuk rancangan bual bicara atau 'talkshow'.

Anggaran Waktu Membaca:
Madrasah Alsagoff cuba cara baru: Kumpul dana menerusi 'talk show'; persembahan Raihan

Madrasah Alsagoff Al Arabiah. (Gambar: Alsagoff Arab School (Official FB)/Facebook)

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya usaha mengumpul dana bagi Madrasah Alsagoff Al Arabiah dilakukan menerusi cara unik, berbentuk rancangan bual bicara atau 'talk show'. 

Diberi nama 'Chope A Seat In Jannah', para penonton boleh menontonnya pada pukul 8.00 malam, 12 Januari depan.

Semasa dihubungi BERITAMediacorp, Mudir Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Ustaz Syed Mustafa Syed Ja'afar Alsagoff berkata tujuan utama rancangan itu adalah untuk mengumpul dana menerusi khidmat tele amal.

"Kami melanggani nombor-nombor tele amal sejak bulan Ramadan lagi dan masih ramai yang belum tahu tentang nombor-nombor ini. Jadi kami nak perkenalkan kepada masyarakat bahawa mereka boleh menyumbang melalui saluran-saluran yang disediakan melalui nombor ini.

"(Dan) caranya menerusi rancangan bual bicara ini," kata Ustaz Syed Mustafa, sambil menambah dengan adanya nombor-nombor tele amal "ia memudahkan masyarakat untuk menyumbang kepada madrasah".

Video treler rancangan bual bicara itu dilancarkan semalam (31 Dis) di laman Facebook Madrasah Alsagoff.

Antara yang akan ditampilkan dalam rancangan itu adalah beberapa ilmuwan, termasuk Ustaz Dr Zahazan Muhammad dan Habib Ali Zainal Abidin dari Malaysia serta pendakwah cilik, Sheikh Rasyid dari Indonesia dan Ustazah Liyana Musfirah dari Singapura.

Selain itu, para peminat nasyid akan dapat mengubat rindu mereka kepada kumpulan Raihan.

Rancangan itu juga diharap dapat dijadikan alternatif bagi masyarakat yang menginginkan lebih banyak kandungan Islamik online.

"Konsepnya macam 'talk show' yang masyarakat kita sudah biasa tengok. Contohnya, kalau di televisyen ada hiburan atau biasanya ada wawancara mengenai makanan dan sebagainya. Kami pula menawarkan rancangan bual bicara berbentuk Islamik, dengan menampilkan beberapa penceramah," Ustaz Syed Mustafa memberitahu BERITAMediacorp.

Menerusi usaha kreatif itu Madrasah Alsagoff berharap dapat mengumpulkan sekurang-kurangnya S$100,000.

"Ini kali pertama jadi kami tidak tahu apa yang nak dijangkakan. Kalau boleh kami nak kumpulkan sebanyak yang mungkin kerana biasanya madrasah memerlukan dana yang agak besar setiap tahun," ujar beliau.

Ustaz Syed Mustafa mendedahkan kepada BERITAMediacorp, bahawa madrasah membelanjakan sekurang-kurangnya S$1.5 juta hingga S$1.7 juta setahun.

"Kalau kami dapat kumpulkan dana, lebih-lebih lagi ini awal tahun, maka tumpuan kami kepada perkembangan lain dapat diberikan sebab dana sudah terkumpul.

"(Dana ini) untuk membayar kos-kos guru, peningkatan, prasarana dan juga program-program pelajar," tambah Ustaz Syed Mustafa.

'Chope A Seat In Jannah', yang akan berlangsung selama tiga jam, boleh ditonton di laman Facebook Alsagoff Arab School (Official FB) pada pukul 8.00 malam, 12 Januari. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan