Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Madrasah Aljunied masak sendiri bubur untuk beri makan 400 keluarga memerlukan

Buat pertama kalinya, Madrasah Aljunied Al-Islamiah memasak sendiri bubur Ramadan untuk diagihkan kepada 400 keluarga kurang bernasib baik di estet Jalan Kukoh sepanjang Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat pertama kalinya, Madrasah Aljunied Al-Islamiah memasak sendiri bubur Ramadan untuk diagihkan kepada 400 keluarga kurang bernasib baik di estet Jalan Kukoh sepanjang Ramadan ini.

Pengagihan secara mingguan itu dijalankan dengan kerjasama M³@Jalan Besar.

Selama empat Jumaat berturut-turut bermula hari ini (16 Apr), para asatizah dan penuntut Madrasah Aljunied Al-Islamiah berserta para sukarelawan M³@Jalan Besar bergabung tenaga demi membawa cahaya Ramadan kepada para penduduk memerlukan di estet Jalan Kukoh.

Di bawah inisiatif 'Bubur for Kukoh', mereka akan mengagihkan dua bungkus bubur kepada setiap rumah kepada 100 keluarga kurang bernasib baik.

Kesemuanya, sejumlah 400 keluarga memerlukan di kawasan itu akan mendapat rezeki tersebut sepanjang Ramadan.

Walaupun projek itu disasarkan kepada golongan memerlukan, para pelajar madrasah juga meraih manfaat projek ini sebenarnya.

"Ia memberi pelajar-pelajar kita dari Madrasah Aljunied satu pengalaman yang lain yang mereka dapat menggunakan untuk mendekati masyarakat. Ini adalah satu pelajaran yang mungkin kita tidak boleh mengajar di dalam kelas-kelas sendiri," berkata Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang menjadi tetamu istimewa acara hari ini.

Pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Nur Adilah Nasuha Muhamad Sabar akur dengan ujaran Dr Wan Rizal itu. Nur Adilah memberitahu BERITAmediacorp dia bersyukur dapat membantu para penduduk di kawasan Jalan Kukoh.

"Perkara seperti ini sangat penting kerana kita boleh mengeratkan hubungan bersama mereka sambil itu kita dapat berkongsi pengalaman berpuasa sama-sama dan mereka tidak rasa keseorangan," kongsinya.

Pengurus Pentadbiran Madrasah Aljunied Al-Islamiah Ustaz Mohamad Zakir Isahak bersetuju bahawa pengalaman seumpama ini cukup bermakna bagi para penuntut madrasahnya.

"Dapat memberi mereka sedikit pengalaman yang baru kepada anak-anak kami ataupun pelajar madrasah erti kehidupan dan saling bantu-membantu dan dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat. Kenapa? Mereka adalah, kata orang itu, asatizah masa depan," kata beliau.

BUBUR HASIL SUMBANGAN MADRASAH ALJUNIED

Ini sebenarnya kali pertama inisiatif 'Bubur for Kukoh' ini diadakan hasil sumbangan air tangan dapur Madrasah Aljunied Al-Islamiah sendiri dengan kerjasama M³@Jalan Besar.

Pengerusi M³@Jalan Besar, Mohamed Shah Reza berkata kolaborasi ini sangat penting kerana Madrasah Aljunied merupakan rakan pihaknya yang kuat ketika pembentukan M³@Jalan Besar.

"Insya-Allah usaha ini akan diperluaskan pada masa hadapan, bukan sahaja dari segi habuan, tetapi dari segi perkongsian ilmu," kata Encik Mohamed Shah.

Inisiatif pengagihan bubur ini merupakan sebahagian daripada Project Kukoh, yang bertujuan meningkatkan mutu kehidupan dan melakar program pendampingan bersepadu bagi para penduduk di Jalan Kukoh.

Pengagihan bubur hari ini dijalankan di Blok 4, 5 dan 6 Jalan Minyak, dan akan juga dilakukan di York Hill dan Jalan Kukoh pada minggu-minggu mendatang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan