Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ma'aruf Amin mahu dekati golongan milenial, tingkatkan usaha lawan radikalisme

Calon naib Presiden Indonesia, Profesor Ma'ruf Amin berkata, beliau akan mendekati golongan milenial, termasuk yang bukan muslim, selain meningkatkan usaha untuk melawan mana-mana fahaman radikal yang membawa kemusnahan di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Calon naib Presiden Indonesia, Profesor Ma'ruf Amin berkata, beliau akan mendekati golongan milenial, termasuk yang bukan muslim, selain meningkatkan usaha untuk melawan mana-mana fahaman radikal yang membawa kemusnahan di negara itu.

Usaha itu menurutnya dapat dicapai menerusi nilai-nilai 'Islam Wasatiyyah' atau Islam sederhana, konsep yang turut disuarakan Presiden Jokowi baru-baru ini, sedang bahang pilihan raya semakin memuncak.

Professor Ma'ruf, yang berada di Singapura, berkongsi demikian semasa ceramah umum anjuran Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS-NTU), siang tadi (17 Okt).

ISLAM MODERAT

Di tengah-tengah kebimbangan bahawa kumpulan-kumpulan Islam konservatif dan radikal terus mendapat tempat di Indonesia, Profesor Ma'ruf yang juga Rais 'Am Syuriah, atau Presiden bagi badan Muslim terbesar Indonesia, Nahdatul Ulama (NU), nampaknya cuba memujuk keprihatinan umum.

Beliau yang juga merupakan Ketua Majelis Ulama Indonesia (MUI) sedang berganding dengan Presiden Jokowi untuk pilihan raya April depan, kini giat memperjuangkan visi Islam Wasatiyyah atau Islam Moderat.

Menurutnya, Islam Moderat merangkumi nilai menghormati dan mengakui perbezaan bersikap reformatif dalam melakukan kebaikan, serta mengamalkan pengamalan yang tidak berlebihan dalam semua aspek kehidupan.

ISLAM MODERAT UNTUK LAWAN IDEOLOGI RADIKAL

Gambar ceramah umum anjuran RSIS-NTU. (Gambar: Ummu Rabbisyfina)

Dalam ceramahnya itu, Prof Ma'ruf menekankan betapa nilai-nilai Islam moderat yang beliau kongsi itu akan digunakannya sebagai salah satu senjata, untuk menentang fahaman radikal yang membinasakan di Indonesia.

"Radikal tidak sesuai dengan ajaran dan itu merupakan kesalahan penafsiran, ada semacam kekeliruan memberikan penafsiran terhadap ayat-ayat ajaran Islam dan juga fahaman destruktif dan kemudian juga kesalahan dalam menafsirkan erti jihad," kata pemimpin yang berusia 75 tahun itu.

Salah tafsir yang beliau maksudkan dalam konteks ini merujuk kepada golongan radikal yang mengambil maksud literal 'Jihad' sebagai melawan, walaupun di dalam situasi dan keadaan yang damai.

Beliau menegaskan: "Kalau suasana damai, adalah kita berbuat kebajikan, perbaikan di segala bidang itulah dinamakan Jihad."

STRATEGI PIKAT HATI GOLONGAN MILENIAL

Profesor Ma'ruf Amin turut dikenali ramai sebagai seorang ulama konservatif yang mengeluarkan banyak fatwa kontroversil. Contohnya pengisytiharan terhadap fatwa SIPILIS (antisekulerisme, pluralisme dan liberalisme) 13 tahun lalu. 

Lantaran itu selepas Presiden Jokowi membuat pengumuman melantik Prof Ma'ruf Amin pada 9 Ogos lalu, ia menimbulkan tanda tanya di kalangan beberapa pihak tentang masa depan masyarakat Indonesia. Adakah masyarakat Indonesia akan menjadi lebih konservatif? Bagaimana pula masa depan hak golongan minoriti di Indonesia?

Apabila Mediacorp mengajukan soalan tentang apakah strateginya menjelang Pilihan Raya Presiden nanti dalam merangkul golongan milenial yang menganggapnya sebagai seorang individu yang 'konservatif', Prof Ma'ruf berkata walaupun beliau dianggap sebagai naib atau "wakil presiden yang tua" di mata sesetengah pihak, beliau akan terus berusaha mendekati dan mendokong golongan milenial, khususnya mereka yang bukan Muslim.

Usahanya itu boleh dikatakan berkesan kerana menurutnya tinjauan yang dilakukan atas 'Jokowi-Ma'ruf Amin' menunjukkan kedua pemimpin itu menguasai penyokong penduduk milenial yang lebih besar berbanding calon-calon yang lain.

"Saya fikir banyak yang meragukan sama ada Kiyai Ma'aruf bisa memberikan peluang bagi golongan milenial tapi sekarang sudah saya berikan pandangan-pandangan saya, visi saya mereka sekarang bukan saja millenial santri, tapi milenial bukan santri, bahkan bukan Muslim," katanya.

ISU KESETARAAN GENDER

Antara isu lain yang turut disentuh dalam ceramah itu termasuk persoalan kesamarataan gender di Indonesia - bagaimana Islam Moderat dapat mendukung kesaksamaan antara kaum wanita dan lelaki.

Menurut Prof Ma'aruf, graduan Universiti Ibn Khaldun di Bogor, Islam Wasatiyyah sememangnya memberikan peluang sedemikian.

"Siapa saja lelaki mahupun perempuan kalau dia membuat baik dia akan memperoleh balasan sesuai dengan perbuatannya, jadi di ajaran Islam perempuan itu di posisikan sama, bahkan lebih.

"Kerana itu ada hadis yang berbunyi 'wanita itu tiang negara', yang kedua, 'syurga itu di bawah telapak kaki ibu'," kongsi beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan