Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M'sia saran hidupkan semula rundingan HSR; S'pura 'nantikan butiran lanjut', kata PM Lee

Malaysia menyarankan untuk menghidupkan semula rundingan mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan Singapura, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (29 Nov) dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Malaysia Ismail Sabri Yaakob.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia saran hidupkan semula rundingan HSR; S'pura 'nantikan butiran lanjut', kata PM Lee

(Gambar: MyHSR)

Diterbitkan : 29 Nov 2021 05:12PM Dikemas Kini : 29 Nov 2021 05:18PM

SINGAPURA: Malaysia menyarankan untuk menghidupkan semula rundingan mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan Singapura, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (29 Nov) dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Malaysia Ismail Sabri Yaakob.

Sidang media bersama itu diadakan di Singapura sempena bermulanya Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) antara kedua-dua negara. PM Lee berkata beliau memberikan responsnya kepada cadangan Encik Ismail dengan menarik perhatian bahawa Singapura dan Malaysia sebelum ini sudah mencapai persetujuan untuk menamatkan projek HSR dan bahawa ia sudah diselesaikan secara baik.

“Bagaimanapun, Singapura terbuka menerima cadangan baru dari Malaysia mengenai projek HSR dan kedua-dua kementerian pengangkutan akan membincangkan perkara itu,” tambah PM Lee.

"Singapura berharap akan menerima butiran lanjut daripada Malaysia supaya kami boleh mengkajinya dan mempertimbangkan semula perkara itu."

Awal tahun ini, Malaysia membayar lebih S$102 juta sebagai pampasan kepada Singapura ekoran penamatan projek HSR itu selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan Malaysia menjelang tarikh akhir 31 Disember tahun lalu.

Semasa pertemuan mereka selepas melawat Pusat Pemeriksaan Woodlands pagi tadi (29 Nov), kedua-dua Perdana Menteri turut membincangkan bidang kerjasama lain, seperti projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Baru-Singapura, kata PM Lee.

"Kerja-kerja binaan sedang berjalan dan kami berharap sistem RTS dapat memulakan khidmat penumpang menjelang akhir 2026," katanya.

Singapura juga terus menyokong pembangunan Iskandar Malaysia, tambah Encik Lee, sambil berkata bahawa jawatankuasa bersama ke-14 bagi Iskandar Malaysia akan bersidang bulan depan.

"Saya berharap mereka akan dapat memberi satu lagi rangsangan bagi projek itu," kata PM Lee.

PM Ismail berkata kedua-dua pemimpin bersetuju tentang perlunya menyambung semula mekanisme dua hala sedia ada, termasuk retreat tahunan pemimpin, yang terpaksa dibatalkan dua kali ekoran pandemik COVID-19.

Para pemimpin kini merancang untuk mengadakan retreat seterusnya pada suku pertama tahun depan, tambah beliau.

PM Ismail berkata kedua-dua pemimpin itu juga berbincang tentang situasi di Myanmar, dan bersetuju adalah penting bagi ASEAN untuk terus memainkan peranan positif dan membina dalam memudahkan huraian secara aman dan berkekalan di sana.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan