Images
  • vivian
    Encik Vivian Balakrishnan pada Selasa (8 Jan) dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Encik Saifuddin Abdullah. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

M'sia, S'pura setuju gantung tubuh kawasan larangan tetap Pasir Gudang, ILS Seletar

SINGAPURA: Malaysia akan menggantung penubuhan kawasan larangan tetapnya di ruang udara Pasir Gudang, sementara Singapura akan menggantung pelaksanaan prosedur-prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar.

Pertama, penggantungan itu akan dilaksanakan selama sebulan, kata menteri-menteri ehwal luar kedua-dua negara dalam satu kenyataan bersama hari ini (8 Jan) selepas mengadakan pertemuan di Singapura untuk membincangkan isu-isu dua hala, termasuk ruang udara yang dipertikaikan buat masa ini.

Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Encik Saifuddin Abdullah berkata mesyuarat yang diadakan "positif dan membina".

"Kedua-dua pihak saling menekankan iltizam masing-masing untuk memelihara hubungan penting antara kedua-dua negara di samping memperkukuhkan hubungan dua hala, atas dasar kesamaan dan saling hormat-menghormati," menurut kenyataan bersama itu.

Kedua-dua menteri turut akur tentang pentingnya memastikan keadaan terus tenang bagi membolehkan perbincangan berjalan dalam suasana yang membina.

Mengenai isu-isu maritim melibatkan had pelabuhan Singapura dan Malaysia, kedua-dua menteri bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi mengkaji dan membincangkan urusan-urusan perundangan dan operasi bagi mengendurkan ketegangan serta membuka ruang untuk meneruskan perbincangan dan rundingan lanjut.

Kumpulan kerja itu akan dipimpin oleh Setiausaha Tetap Ehwal Luar Singapura, Chee Wee Kiong dan Ketua Setiausaha Ehwal Luar Malaysia, Encik Muhammad Shahrul Ilra Yaakob, serta para pegawai kanan lain yang relevan.

Kumpulan kerja itu akan melaporkan perkembangan terkini kepada menteri-menteri ehwal luar dalam tempoh dua bulan, menurut kenyataan itu lagi.

Ia menambah: "Kedua-dua menteri luar gembira dengan kemajuan yang dicapai di mesyuarat itu, dan mengalu-alukan langkah-langkah positif yang dipersetujui kedua-dua pihak untuk terus melangkah dengan cara yang tenang dan membina." 

- CNA/AQ/aq

Top