Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M'sia pertimbang semak semula tol Link Kedua Tuas, kata Najib Razak

Pihak berkuasa Malaysia akan menimbangkan untuk menyemak semula bayaran tol di Link Kedua Tuas untuk mengurangkan kesesakan trafik di Koswe Woodlands.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia pertimbang semak semula tol Link Kedua Tuas, kata Najib Razak

Trafik waktu sibuk sebelah pagi di Pusat Pemeriksaan Tuas. (Gambar: Howard Law)

Diterbitkan : 16 Jan 2018 04:42PM Dikemas Kini : 16 Jan 2018 04:44PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa Malaysia akan menimbangkan untuk menyemak semula bayaran tol di Link Kedua Tuas untuk mengurangkan kesesakan trafik di Koswe Woodlands.

Demikian menurut Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media bersama menyusuli Retreat Pemimpin Singapura-Malaysia yang kelapan hari ini (16 Jan).

Datuk Seri Najib berkata Malaysia "tertarik dengan saranan" oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong supaya bayaran tol di Link Kedua disemak semula agar para pengguna "lebih terpanggil" untuk beralih daripada menggunakan Koswe Woodlands.

"Saya menyuarakan kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong tentang perlunya untuk kita meneliti kesesakan trafik di Koswe (Woodlands) dan hari ini, terdapat laporan-laporan bahawa pada waktu-waktu sibuk, khususnya musim perayaan dan cuti sekolah rakyat dari kedua-dua negara terpaksa menunggu lama antara tiga dengan empat jam sebelum mendapat pelepasan. Kami berdua bersetuju bahawa kami perlu menghuraikan isu ini," kata Encik Najib.

Beliau menambah Malaysia akan "membawa pulang saranan itu", berkomunikasi dengan Singapura dan berharap kedua-dua pihak akan dapat mencapai keputusan "secepat mungkin".

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semasa Retreat Pemimpin yang kelapan hari ini, kedua-dua pemimpin menyambut baik langkah Malaysia menarik balik tol Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) berkuat kuasa 1 Januari lalu dan juga langkah Singapura mengurangkan tol berkuat kuasa 1 Februari nanti.

Kedua-dua pemimpin juga memuji usaha oleh penguasa imigresen dari Malaysia dan Singapura untuk mengurangkan kesesakan di Koswe Woodlands dan Link Kedua Tuas, di samping memastikan keperluan keselamatan diambil kira.

Kenyataan itu menekankan bahawa antara Januari dengan Jun 2017, sebanyak 26,318 permohonan bagi Sistem Pelepasan Automatik Malaysia (MACS) diterima, menjadikan keseluruhan jumlahnya kepada 676,768 sejak ia dimulakan pada tahun 2009.

Selain itu, kenyataan tersebut menyatakan proses pelepasan penunggang motosikal yang keluar masuk antara kedua-dua negara "lebih lancar" sejak sistem pelepasan BIKES II dan Motosikal Rakyat Malaysia (M-BIKE) Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dilaksanakan pada Januari 2017.

Hari ini, Singapura dan Malaysia menandatangani perjanjian dua hala bagi sistem kereta api rentas sempadan - Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS).

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan