Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M'sia lancar siasatan awal terhadap insiden perlanggaran kapal di perairan S'pura

Ketua Pengarah Jabatan Marin Malaysia Encik Baharin Abdul Hamid mengatakan jabatannya sudah mula menjalankan siasatan awal terhadap insiden perlanggaran MV Polaris dengan kapal pengangkut pukal Piraeus.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Feb 2019 11:43PM Dikemas Kini : 10 Feb 2019 09:15PM

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Marin Malaysia Encik Baharin Abdul Hamid mengatakan jabatannya sudah mula menjalankan siasatan awal terhadap insiden perlanggaran MV Polaris dengan kapal pengangkut pukal Piraeus.

Dalam kenyataannya, Encik Baharin berkata tiada anak kapal yang cedera dalam insiden tersebut.

Awal dari itu, Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) mengesahkan bahawa kapal Polaris dari Malaysia dan kapal yang berdaftar di Greece berlanggar di perairannya dekat Had Pelabuhan Tuas.

Insiden berlaku pada Sabtu (9 Feb), jam 2.28 petang.

Encik Baharin memberitahu media Malaysia bahawa buat masa ini tiada sebarang tumpahan minyak berlaku dan kru dari kedua-dua kapal selamat.

"Piraeus masih boleh bergerak dan kita sudah mengarahkan kapal itu belayar ke Tanjung Bin iaitu masih dalam kawasan Pelabuhan Tanjung Pelepas," tambah beliau.

Encik Baharin turut mendedahkan seramai 23 anak kapal berada dalam MV Polaris ketika kejadian tersebut.

Awal dari itu, Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan ada mengatakan beliau bimbang insiden seperti ini akan berlaku dengan adanya kapal-kapal Malaysia di perairan Singapura.

Singapura meluaskan had pelabuhannya di Tuas pada 6 Dis selepas kapal Malaysia berkali-kali mencerobohi kawasan perairannya selama dua minggu.

Kapal-kapal yang dimaksudkan termasuk kapal dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Marin Malaysia.

Peluasan had pelabuhan Tuas dilakukan selepas Malaysia mengambil keputusan sepihak untuk meluaskan had pelabuhan Johor Bahru pada 25 Okt, yang mengundang bantahan daripada Singapura.  

Sumber : CNA/Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan