Images
  • Msia pengganas arrest
    20 suspek pengganasan di berkas antara 30 Nov dengan 15 Dis. (Gambar: Polis Malaysia, Divisyen Khas Anti Pengganasan E8)

M'sia berkas 20 suspek pengganas termasuk ketua kumpulan militan Indonesia, Filipina

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia memberkas 20 suspek pengganas, termasuk tujuh rakyat Filipina, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Afrika Utara, dalam satu operasi yang dijalankan di beberapa negeri.

Suspek-suspek itu ditahan di Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah antara 30 November dengan 15 Disember, menurut Ketua Polis Malaysia Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (22 Dis).

Seorang suspek warga Filipina dan seorang rakyat Indonesia dipercayai ketua kumpulan pengganas di negara masing-masing.

Penangkapan paling ramai suspek dibuat di Sabah pada 10 Disember, di mana enam lelaki rakyat Malaysia dan lima rakyat Filipina dalam lingkungan usia antara 16 dengan 47 tahun diberkas kerana merancang untuk menyertai kumpulan pengganas di selatan Filipina.

Seorang lelaki Indonesia berusia 24 tahun pula ditangkap di Pontian, Johor dan dipercayai seorang ketua Jamaah Ansharut Daulah (JAD), kumpulan militan yang berikrar taat setia dengan ISIS.

Lelaki itu dipercayai terlibat dalam insiden pengeboman di Bandung pada bulan Julai 2017.

JAD adalah sebuah kumpulan yang bertanggungjawab di sebalik dua serangan bom di Jakarta - pengeboman pada tahun 2016 di kafe Starbucks dan letupan yang berlaku di sebuah terminal bas pada bulan Mei.

Seorang lelaki rakyat Filipina berusia 50 tahun, yang ada kaitan dengan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) ditangkap di Kuala Lumpur. Dia dipercayai cuba merekrut rakyat Filipina di daerah Kepong supaya menyertai ASG di selatan Filipina, menurut kenyataan itu lagi.

- CNA/NK/nk

Top