Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M³ sedia pergi 'rumah ke rumah' demi pastikan ibu bapa Melayu hantar anak ikuti prasekolah lebih awal

Ini akan dilakukan M³ "meskipun harus (mengetuk pintu) dari rumah ke rumah" untuk menguar-uarkan mesej tersebut kepada ibu bapa yang belum lagi berbuat demikian, kata Encik Masagos. Gerakan M³ meliputi MUIS, MENDAKI dan MESRA.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata para sukarelawan rangkaian M³ akan menjalankan usaha menggalakkan ibu bapa Melayu/Islam supaya menghantar anak-anak mereka mengikuti pendidikan prasekolah lebih awal lagi iaitu seawal usia 3 atau 4 tahun lagi.

Ini akan dilakukan M³ "meskipun harus (mengetuk pintu) dari rumah ke rumah" untuk menguar-uarkan mesej tersebut kepada ibu bapa yang belum lagi berbuat demikian, kata Encik Masagos. Gerakan M³ meliputi MUIS, MENDAKI dan MESRA.

Beliau menekankan bahawa peluang untuk anak-anak berjaya dalam pendidikan akan lebih cerah "jika ibu bapa memulakan perjalanan pendidikan (anak-anak) mereka seawal-awalnya".

"Ini saya fikir akan mendatangkan hasil yang baik pada jangka waktu akan datang," kata beliau dalam wawancara secara langsung di televisyen dengan BERITAmediacorp hari ini (21 Ogos).

"Kalau waktu saya dahulu pergi ke sekolah atau bermula pada Darjah 1 sudah cukup. Tetapi sekarang ini kerana persaingan dan juga keadaan masyarakat umumnya, permulaan sekolah dari K1 belum tentu cukup," tambah Encik Masagos lagi.

Encik Masagos mengulas soalan tentang ucapan Rapat Hari Kebangsaan yang disampaikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad lalu.

PM Lee akur bahawa lebih ramai ibu bapa Melayu kini sedar perlunya menghantar anak-anak bagi pendidikan prasekolah. Namun beliau mahu mereka berbuat demikian di peringkat lebih awal lagi.

Kos katanya tidak menjadi masalah kerana dengan sokongan pemerintah, yuran tajaka dan tadika bagi anak dari keluarga kurang mampu adalah serendah S$3 sahaja sebulan.

FAKTOR MERITOKRASI DALAM PENCAPAIAN PELAJAR MELAYU

Muhammad Khairul Anwar Jamil, Syasya Naqiyah Amir dan Khalid Othman. (Gambar: BERITAMediacorp)

Gambar fail para mahasiswa Melayu/Islam Singapura. (Gambar: BERITAmediacorp)

Mengulas hakikat bahawa pelajar Melayu/Islam yang lulus Ijazah Kepujian Kelas Pertama dan menerima Anugerah MENDAKI melonjak 10 kali ganda sejak sedekad lalu - daripada 7 pada tahun 2007 kepada lebih 70 tahun lalu - Encik Masagos berkata ini bukti bahawa orang Melayu memegang nilai "meningkatkan kehidupan mereka melalui pendidikan".

"Mereka juga merasakan meritokrasilah cara mereka mencapai kedudukan yang terbaik.

"Iaitu kita bukan mencapai ke sesuatu tahap kerana keturunan ataupun kaitan dengan orang yang berkuasa. Tetapi kerana kita ada jati diri dan kita boleh menunjukkan bahawa kita mampu dan boleh mencapai apa saja melalui pendidikan. Ini adalah satu pencapaian yang saya fikir sangat unik untuk orang Melayu Singapura," ujar Encik Masagos.

PENCAPAIAN AGAMA MASYARAKAT MELAYU/ISLAM S'PURA

Masyarakat Islam di Singapura. (Gambar: Facebook/ PM Lee)

Masyarakat Islam di Singapura. (Gambar: Facebook/ PM Lee)

Dalam ucapan bahasa Melayu semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan beliau kelmarin (18 Ogos), PM Lee juga memuji bagaimana Islam menjadi tunggak masyarakat Melayu tempatan.

Malah, kata PM Lee, orang Melayu berpegang teguh kepada identiti sendiri sambil bersatu padu dengan masyarakat lain serta memiliki naluri dan jati diri sebagai anak watan Singapura.

Memberikan respons kepada perkara ini, Encik Masagos berkata masyarakat Melayu/Islam perlu bersyukur kerana meskipun mereka merupakan masyarakat minoriti tetapi mempunyai sekitar 2,500 asatizah yang bertauliah.

Namun begitu, lebih banyak lagi boleh dilakukan bagi meningkat profesionalisme para asatizah.

Ini boleh dilakukan melalui Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang akan dilancarkan tahun depan dan juga menerusi penubuhan Kolej Islam Singapura.

"Para asatizah kita datang dari pelbagai pelosok dunia untuk meraih pendidikan yang terbaik tetapi mereka mungkin mempunyai aliran-aliran yang berbeza antara satu sama lain dan apabila mereka pulang kami mahu mereka sealiran dan tahu serta peka tentang konteks yang mana penerapan Islam itu berbeza di suasana yang mungkin masyarakat majoriti berbanding dengan masyarakat seperti kita.

"Namun saya percaya sekarang ini saja, para asatizah kita sudah mampu dan dapat membina masyarakat yang inklusif, moderat dan dapat mengejar kemajuan tanpa mengorbankan nilai-nilai murni Islam dan kemelayuan kita," kata Encik Masagos. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan