Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M³ giatkan usaha dampingi masyarakat; kenal pasti jurang bantuan bagi golongan memerlukan

Perikatan M³ akan memperuntuk sumber bagi membantu keluarga pesalah dan bekas banduan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perikatan M³ akan memperuntuk sumber bagi membantu keluarga pesalah dan bekas banduan.

Setiausaha Parlimen Kanan, Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin berkata demikian di Sesi Dialog Bersama Para Relawan M³ semalam (23 Okt).

Beliau juga mengajak masyarakat sama-sama menjayakan usaha M³ bagi membangunkan masyarakat yang lebih tangkas menangani cabaran.

KEBAJIKAN PENDIDIKAN ANAK BANDUAN ANTARA KEPRIHATINAN UTAMA

Apakah jenis pertolongan yang boleh dilhulurkan kepada anak banduan bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang mencukupi?

Apakah pula peluang pekerjaan sesuai yang disediakan bagi bekas pesalah untuk membuka lembaran baru?

Dua persoalan ini merupakan antara keprihatinan utama yang diluahkan oleh para bekas pesalah dan keluarga banduan dalam sesi dialog yang turut dihadiri relawan dari rangkaian kerjasama M³ - MUIS, MENDAKI, MESRA, Projek Masyarakat Reben Kuning (YRCP) serta Masjid Sallim Mattar.

Memberikan respons beliau, Encik Amrin berkata lebih banyak kerjasama dan kolaborasi yang lebih kukuh akan dilakarkan antara agensi-agensi masyarakat dan nasional bagi membantu golongan itu.

MASJID: PUSAT BIMBINGAN AGAMA BAGI KELUARGA BANDUAN

Ini khususnya menerusi kekuatan dan aset rangkaian M³ dalam bidang kaunseling agama, sokongan keluarga dan pendidikan.

Misalnya, beliau menarik perhatian bagaimana masjid-masjid boleh memainkan peranan penting sebagai sebuah pusat utama dalam memberikan bimbingan agama kepada pesalah dan keluarga banduan.

"Jadi mungkin masjid boleh memainkan peranan yang baik yang dapat menyatupadukan masyarakat, dapat menyebarkan atau menghulur bantuan dan juga menyebarkan mesej tentang di mana mereka boleh mendapatkan bantuan dan juga menjadi satu ikatan masyarakat itu di mana mereka dapat berkongsi pengalaman dan berkongsi nasib dan sebagainya," tambah Encik Amrin.

MENDAKI: BANTU DARI ASPEK PENDIDIKAN

MENDAKI pula menurutnya boleh memainkan peranan merekan dalam bidang pendidikan bagi memberikan sokongan keluarga dan anak-anak, contohnya menerusi kelas Matematika dan kursus-kursus terapi seni sebagai usaha pendekatan terhadap golongan itu.

Encik Amrin berkongsi: "Mungkin kita boleh adakan satu program yang bertumpukan kepada keluarga-keluarga yang terkesan ini, contohnya dari segi terapi seni di mana mereka boleh mendapat sokongan dan wadah untuk berkongsi pengalaman mereka."

MESRA: TENAGA MASYARAKAT BERI BANTUAN SEDIA ADA

Namun, menurut Encik Amrin lagi untuk memastikan bantuan yang lebih efektif dapat diberikan kepada bekas pesalah dan keluarga bukan usaha badan atau organisasi tertentu sahaja.

Malah, menurutnya masyarakat memainkan peranan yang lebih penting terhadap usaha itu.

Encik Amrin merujuk kepada rangkaian luas MESRA di peringkat akar umbi serta kumpulan relawannya yang dapat membantu penduduk mendapatkan khidmat yang sewajarnya.

"Ini adalah satu peranan yang boleh dimainkan oleh MESRA dan pusat-pusat MAEC kita, di mana mereka dapat memastikan mereka yang dapat duduk di rumah seorang diri itu tidak tahu di mana dapat bantuan itu tahu di mana mereka boleh dapatkan bantuan dan boleh membawa mereka ke tempat-tempat yang mereka boleh mendapat nasihat atau bantuan sokongan dan sebagainya.

"Ini adalah satu perkara yang kita sedang bekerja bertungkus lumus, ini bukan sesi pertama, kita sudah mengadakan berbagai-bagai sesi," tekan Encik Amrin lagi.

Maka itu, tambah beliau, sesi-sesi pertemuan sedemikian penting untuk memahami usaha lanjut yang boleh dijalankan serta mengenal pasti jurang bantuan bagi golongan yang memerlukan.

AKAN TERUS DEKATI KELUARGA BANDUAN

Pengasas New Life Stories, sebuah organisasi yang menyokong pendidikan prasekolah bagi keluarga banduan, menyambut baik peluang bekerjasama bagi membantu golongan itu khususnya dalam memastikan anak-anak banduan itu tidak terjerumus dalam lingkaran yang sama.

"Kita ada banyak peluang untuk bekerjasama potensi untuk bekerjasama besar kerana untuk kita menangani masalah-masalah masyarakat kita perlu bekerjasama, bersama MENDAKI, MESRA, MUIS dan juga organisasi seperti New Life Stories.

"Kita harus lakukan tidak ada cara lain, tidak ada pilihan lain kita harus bekerjasama untuk menangani masalah masyarakat sebagai satu masyarakat," kata Cik Saleemah.

Sesi Dialog Bersama Para Relawan M³ itu diadakan di Kelab Masyarakat MacPherson.

Lebih banyak sesi sedemikian dirancang dalam usaha memahami dengan lebih baik lagi isu-isu yang dekat di hati masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan