Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M³ dedahkan program pertama untuk perkasa kanak-kanak prasekolah

Projek pertama di bawah rangkaian M³ akan dimulakan pada Sabtu (15 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
M³ dedahkan program pertama untuk perkasa kanak-kanak prasekolah

Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara, Zaqy Mohamad dan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim. (Gambar: Fariza Abdul Aziz)

SINGAPURA: Projek pertama di bawah rangkaian M³ akan dimulakan pada Sabtu (15 Sep). Dipanggil KelasMateMatika@CC (KMM), projek itu lanjutan kepada program Maju Minda Matematika (Tiga M) bagi kanak-kanak prasekolah yang dikelolakan Yayasan MENDAKI.

Ia akan ditawarkan di tujuh kelab masyarakat hasil kerjasama lebih mendalam antara MENDAKI, MUIS dan MESRA. MESRA ialah Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat.

Projek perintis itu yang bermula dari September hingga Mac tahun depan menyasarkan 350 kanak-kanak atau 175 keluarga.

"Dengan sumber-sumber PA dan juga sokongan MUIS di masjid-masjid untuk merujukkan keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan, saya rasa kita dapat mendekati lebih banyak orang di lebih banyak daerah. Kita juga dapat sokongan daripada anggota-anggota Parlimen di merata Singapura," kata Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara, Zaqy Mohamad.

Encik Zaqy yang juga merupakan Timbalan Pengerusi MENDAKI mengumumkan demikian dalam satu sesi dialog pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) yang berlangsung di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Program KelasMateMatika@CC adalah satu peluasan kepada program Tiga M sedia ada. Ia bertujuan memperkasa keluarga dengan kemahiran mengajar mata pelajaran Matematik kepada anak-anak mereka.

Menerusi penyepaduan kepakaran dan sumber yang lebih mendalam antara M³, program itu dapat ditawarkan kepada lebih banyak keluarga berpendapatan rendah melalui rangkaian akar umbi MESRA dan sumber-sumber dari PA.

MENDAKI akan terus menganjurkan modul pertama program 3M selama enam minggu. Ini disusuli modul kedua di bawah PA selama empat minggu, terdiri daripada kursus-kursus untuk mengeratkan hubungan keluarga seperti sukan, seni persembahan dan kemahiran hidup.

Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan MESRA akan membantu mengenal pasti keluarga-keluarga yang memerlukan dan menyelaraskan serta membiayai komponen program di bawah PA. MUIS juga akan mendekati keluarga-keluarga sasaran dan menyediakan khidmat sokongan menerusi pelbagai program sedia ada.

Program itu disediakan percuma bagi keluarga Melayu/Islam dengan Pendapatan Keluarga Per Kapita (PCI) tidak melebihi $450.

Sesi pertama KelasMateMatika@CC akan dilancarkan di kelab-kelab masyarakat Nee Soon Central, Marsiling dan Pasir Ris East pada tahun ini. Empat lagi CC - Admiralty, Keat Hong, Boon Lay dan Woodlands akan mula menawarkan program itu tahun depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan