Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

M³@Chua Chu Kang dilancarkan dengan 3 bidang tumpuan

Satu lagi gerakan M³@Bandar dilancarkan hari ini (11 Mei), iaitu di GRC Chua Chu Kang. Ini menjadikannya M³@Bandar yang keenam dilancarkan sejauh ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu lagi gerakan M³@Bandar dilancarkan hari ini (11 Mei), iaitu di GRC Chua Chu Kang. Ini menjadikannya M³@Bandar yang keenam dilancarkan sejauh ini.

Dipanggil M³@Chua Chu Kang, ia dirasmikan oleh para Anggota Parlimen GRC tersebut yang termasuk Menteri Kesihatan Gan Kim Yong, Menteri Negara, Kementerian Pembangunan Negara (MND) merangkap Tenaga Manusia (MOM), Zaqy Mohamad dan Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Tenaga Manusia, Cik Low Yen Ling.

M³@Bandar merupakan inisiatif yang menggembleng kekuatan MUIS, MESRA dan MENDAKI. Ia juga mengumpulkan tenaga dan kemahiran para sukarelawan serta pemimpin Melayu/Islam bagi membantu masyarakat secara lebih menyeluruh.

Majlis pelancaran tersebut diadakan di Kelab Masyarakat Hillview, menyaksikan 1,000 penduduk Melayu/Islam termasuk para sukarelawan, pemimpin serta anggota masyarakat berkongsi makanan dengan keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik di kawasan tersebut.

Sebuah Majlis Berbuka Puasa kemudian dianjurkan secara bersama oleh empat masjid di daerah Chua Chu Kang iaitu - Masjid Ar-Raudhah, Masjid Al-Khair, Masjid Maarof, dan Masjid Al-Firdaus.

Bagi mengukuhkan lagi jalinan keharmonian kaum, pelancaran M³@Chua Chu turut meliputi aktiviti membuat bunga manggar beramai-ramai.

Lebih dari itu, para penduduk juga mempelajari tentang kepentingan bulan Ramadan dan Islam, serta kepentingan menghormati agama lain di sini.

3 FOKUS UTAMA M³@CHUA CHU KANG

M³@Chua Chu Kang mempunyai tiga fokus utama dalam membantu masyarakat tersebut.

Pertama, untuk mengukuhkan perkahwinan, keibubapaan serta perkembangan awal kanak-kanak.

Kedua, meningkatkan jangkauan membantu keluarga banduan dan anak-anak mereka dengan kerjasama Projek Reben Kuning.

Ketiga, memperkasa dan membimbing golongan belia.

"Kami merupakan sebuah keluarga besar di GRC Chua Chu Kang: Indah, Inklusif dan Baik Budi. M³@Chua Chu Kang akan menerapkan nilai-nilai ini dalam membantu pasangan muda, keluarga dengan kanak-kanak, individu dan belia yang lemah.

"Kami menyasarkan untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan kolaborasi di antara penduduk dengan akar umbi, menerusi program-program sedia ada dan inisiatif yang akan datang di bawah M³@Chua Chu Kang," kata Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, Pengerusi bagi M³@Chua Chu Kang.

Sebelum pelancaran rasminya hari ini, M³@Chua Chu Kang sudah memulakan program mereka seawal dua bulan lalu menerusi KelasMateMatika@Keat Hong CC dan KelasMateMatika@Chua Chu Kang CC.

Program-program yang berlangsung selama 10 minggu itu antara lain membantu kanak-kanak dengan teknik mengira selain meningkatkan kemahiran bimbingan ibu-bapa.

Selain M³@Chua Chu Kang, lima lagi M³@Bandar yang sudah dirasmikan ialah M³@Bedok, M³@Pasir Ris-Punggol, M³@Tampines, M³@Nee Soon dan M³@Jurong.

Kini tinggal dua lagi inisiatif M³@Bandar yang akan dikendalikan secara bertahap-tahap di Marsiling dan Woodlands.  

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan