Images
  • hijrah walk main
    Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad melancarkan acara Jalan Hijrah pada 8 Sep 2019. (Gambar: PA)

M³@Chua Chu Kang bakal lancar program untuk keluarga berpendapatan rendah, kaum bapa

SINGAPURA: Golongan keluarga Melayu berpendapatan rendah di GRC Chua Chu Kang boleh mendapatkan khidmat nasihat profesional tentang isu kewangan secara percuma manakala kaum bapa pula boleh mendapatkan bimbingan kepimpinan rumahtangga mulai bulan ini.

Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad mendedahkan demikian di acara kegiatan berjalan 'Hijrah Walk' dan pelantikan jawatankuasa M³@Chua Chu Kang.

Bagi meraikan awal Muharam 1441 Hijrah, seramai 600 penduduk menyertai kegiatan berjalan sejauh 2 kilometer, dari Masjid Maarof ke Kelab Masyarakat Nanyang.

Bermatlamat menggalak gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Melayu, acara itu turut disertai Menteri Kesihatan Gan Kim Yong dan Menteri Negara Kanan Kesihatan Dr Amy Khor.

'Hijrah Walk' dianjurkan bersama oleh masjid-masjid Maarof, Al-Khair dan Ar-Raudhah serta Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) GRC Chua Chu Kang dan SMC Hong Kah North.

"Kita perlukan teman-teman yang ada di dalam masyarakat untuk sama-sama kita menggembleng tenaga untuk kita membangunkan masyarakat yang lebih baik lagi," kata Pengerusi Masjid Maarof, Encik Rashid Ramli.

JAWATANKUASA M³@CHUA CHU KANG DILANTIK

Di acara itu, jawatankuasa M³@Chua Chu Kang juga telah dilantik. Mereka terdiri daripada para wakil dari lima masjid di kawasan tersebut, iaitu Masjid Al-Firdaus, Masjid Al-Khair, Masjid Ar-Raudhah, Masjid Maarof dan Masjid Pusara Aman, selain para pemimpin akar umbi di kawasan undi berkenaan serta jawatankuasa MAEC SMC Hong Kah North selain karyawan Melayu.


M³@CHUA CHU KANG BAKAL KENDALIKAN 2 PROGRAM BARU

Encik Zaqy yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang mendedahkan bahawa dua program baru akan dikendalikan di M³@Chua Chu Kang.

Pertama adalah Program Celik Kewangan yang disasarkan kepada keluarga berpendapatan rendah.

Dipanggil "Sikit-Sikit Lama-Lama Jadi Bukit", golongan tersebut akan mendapat nasihat pakar daripada para penasihat kewangan profesional yang tampil sebagai sukarelawan untuk membantu para penduduk Melayu Chua Chu Kang.

Dijalankan selama enam bulan, program tersebut akan bermula pada 21 September ini.

Program utama kedua pula adalah siri 'Nakhoda Bahtera' yang disasarkan kepada golongan bapa Melayu/Islam.
"Program-program ini akan menumpukan perhatian kepada isu-isu kaum lelaki terutama sekali mereka yang memimpin keluarga dan di sini saya berharap para penduduk akan bersama kami untuk menjayakan program bersama kami," terang Encik Zaqy.

Program itu akan dimulakan pada November ini dan dikendalikan oleh Masjid Al-Khair.

Satu projek melibatkan belia di seluruh GRC Chua Chu Kang juga bakal dilancarkan pada November nanti. 

- BERITAmediacorp/fz

Top