Images
  • m3 bedok 3
    Dr Maliki Osman (tengah) di pelancaran M³@Bedok pada 27 Apr (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

M³@Bedok dilancar, harap dapat pertingkatkan bantuan kesihatan penduduk Bedok

SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman melancarkan M³@Bedok hari ini (27 Apr).

M³@Bedok merupakan projek kelima di bawah inisiatif M³@Bandar dilancarkan sejak rangkaian MUIS, MESRA dan MENDAKI diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, pada tahun lepas. Ia bertindak sebagai rangka kerja yang memanfaatkan tenaga, kepakaran dan rangkaian relawan Melayu/Islam di sini membantu masyarakat di estet-estet kejiranan.

Tujuannya adalah bagi memastikan bantuan tepat dapat disalurkan dan program-program baru yang sesuai dapat dilakarkan jika perlu.

TIGA FOKUS UTAMA 

Dalam hal ini, Dr Maliki, yang juga penasihat utama M³@Bedok berkongsi tiga bidang tumpuan bagi membantu memenuhi keperluan penduduk di estet perumahan tersebut.

Yang pertama ialah meningkatkan mutu pendidikan penduduk. Kedua, menyokong masa depan penduduk menerusi peningkatan kemahiran, dan yang terakhir ialah menaiktaraf kesihatan penduduk.

"Ramai daripada mereka masih kurang bergiat di dalam kegiatan-kegiatan jasmani dan juga mental yang akan memastikan mereka berupaya untuk menjalankan usia senja mereka dengan lebih efektif lagi.

"Kita tahu warga senja kita pergi masjid dengan ini bagaimana MESRA boleh bekerjasama dengan masjid-masjid kita, dan inilah sinergi yang kita inginkan dalam M³," kata Dr Maliki.

M³@Bedok menjangkaui sembilan divisyen termasuk Kampung Chai Chee, Bedok Reservoir- Punggol dan Eunos.

JAWATANKUASA M³@BEDOK

Diketuai oleh Timbalan Ketua Eksekutif MUIS yang baru dilantik, Encik Fahmi Aliman, kumpulan M³@Bedok melibatkan 20 relawan yang datang dari latar belakang berbeza termasuk peguam, doktor, guru serta wakil dari NGO.

"Di Bedok ini ramai orang yang sudah tua yang selalu duduk sendirian di rumah, di sini melalui tinjauan ini kita dapat berbual dengan mereka dan kita dapat bertanya apakah masalah yang mereka perlukan seperti di mana untuk membuat pemeriksaan doktor.

"Di sini kita ada tempat-tempat kesihatan masyarakat di Bedok, kita bawa ke situ, memberikan satu pilihan untuk mereka membuat tinjaun sendiri," kongsi Encik Fahmi. 

Walaupun baru dilancarkan hari ini (27 Apr) kumpulan tersebut sebenarnya sudahpun memulakan usaha mendekati masyarakat sebelum pelancaran M³@Bedok.

Daripada sesi lawatan ke 200 rumah 2-3 bilik di estet perumahan Bedok, kumpulan tersebut mendapati isu kesihatan merupakan salah satu bidang utama yang perlu diberi tumpuan.


(Dr Fadzil Hamzah, salah seorang anggota M3@Bedok memberi penerangan kepada penduduk tentang program bantuan kesihatan. Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

Lantaran itu, acara Fiesta Kesihatan dianjurkan sempena majlis pelancaran M³@Bedok bagi meningkatkan kesedaran terhadap isu kesihatan. Pelbagai program kesihatan dianjurkan termasuk tips bersenam dan resipi sihat sewaktu bulan Ramadan.

Selain M³@Bedok, empat lagi M³@Bandar yang sudah dirasmikan ialah M³@Pasir Ris-Punggol, M³@Tampines, M³@Nee Soon dan M³@Jurong.

Tinggal tiga lagi inisiatif M³@Bandar yang akan dikendalikan secara bertahap-tahap di Marsiling, Woodlands dan Choa Chu Kang. 

- BERITAmediacorp/tq

Top