Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lulusan politeknik tonjol daya kreativiti raikan 'majlis' tamat pengajian yang dibatalkan

Para penuntut politeknik yang dijadual menghadiri majlis tamat pengajian mereka tahun ini berusaha mencari cara kreatif untuk meraikan pencapaian mereka, meskipun majlis tersebut terpaksa dibatalkan kerana COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para penuntut politeknik yang dijadual menghadiri majlis tamat pengajian mereka tahun ini berusaha mencari cara kreatif untuk meraikan pencapaian mereka, meskipun majlis tersebut terpaksa dibatalkan kerana COVID-19.

Minggu ini misalnya, ia sepatutnya menjadi minggu bersejarah bagi para lulusan Politeknik Singapura (SP).

Bagaimanapun dengan pembatalan majlis tersebut, hasrat mereka mencipta memori indah memakai gaun tamat pengajian, turut terkubur.

Namun, berbeza keadaannya bagi Cik Azzah Atifah Mohd Ramezan, 20 tahun.

Oleh sebab gaun tamat pengajian memang tidak dapat disewa semasa tempoh ini, beliau mencari akal untuk merawat kehampaannya.

Dengan menggunakan abaya hitam ibunya sebagai 'gaun', kadbod sebagai pelapik bahu dan cat akrilik bagi mewarnakan kadbod itu, Cik Azzah bertekad menghasilkan gaunnya yang tersendiri bagi merakam detik bersejarah itu.

Lulusan Kejuruteraan Landskap Politeknik Singapura ini berkongsi cara pembuatannya: "Saya mencari idea di internet cara yang terbaik untuk membuat gaun menggunakan saki-baki bahan yang saya gunakan untuk projek saya sepanjang pengajian saya di SP. Dengan gambar-gambar tamat pengajian yang memang banyak di Instagram, saya mula membuat gaun itu.

"Saya menggunakan kadbod sebagai pelapik bahu. Saya mengecat menggunakan cat akrilik. Sesudah kering, saya memotong mengikut ukuran badan saya. Saya lekatkan di baju abaya emak saya menggunakan pin dan pelekat."

"Pada mulanya kelihatan lucu, tapi lama-kelamaan, setelah digayakan dengan sijil, gaun itu kelihatan seperti yang asli!" ujarnya.

RAIKAN DENGAN SIJIL DIPLOMA DIGITAL

Merakam 'detik' bersejarah itu dengan keluarganya, Cik Azzah juga bergambar lengkap dengan sijil diploma digital.

Bagi memeriahkan lagi 'majlis' tersebut, beliau turut bersyukur dapat mengadakan sesi Zoom bersama keluarga besarnya bagi meraikan pencapaiannya itu.

"Saya rasa meraih satu pencapaian itu tidak terletak pada tempat atau acara yang gah, tetapi bersama keluarga saya yang telah memberi sokongan di sepanjang pengajian saya," kata beliau.

'MAJLIS' TAMAT PENGAJIAN ONLINE

Sehubungan itu, rakan sekolahnya, Cik Nurul Natasha Rosli, 22 tahun, pula terharu dan berterima kasih kepada pensyarah mereka, Encik Fan Ay Deng kerana menganjurkan majlis tamat pengajian kelasnya melalui Zoom.

"Ia seronok kerana kami satu kelas dapat berhimpun bersama online, untuk tanya khabar masing-masing. Bila dapat jumpa pensyarah dan rakan-rakan sekali lagi, saya rasa selesa, terutama sekali dengan keadaan sekarang yang tidak menentu," ujar beliau.

Malah ada rakan sekelasnya, seperti Cik Hessa Johan Adam Chin, 21 tahun, turut mengambil cuti dari kerja untuk 'hadirkan diri' dan setiap seorang daripada mereka turut berpeluang menyampaikan ucapan.

Lulusan diploma Acara Bersepadu dan Pengurusan Projek SP ini berkongsi pengalaman menariknya itu: "Saya juga berkesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan yang lain dan juga kepada guru yang telah mengajar saya selama ini.

"Dengan adanya 'sesi tamat pengajian' secara online sebegini, saya tidaklah rasa terkilan kerana tidak mempunyai majlis yang sebenarnya."

Yang pasti, para penuntut ini sedikit sebanyak dapat merakam detik penting dalam perjalanan pendidikan mereka selepas tiga tahun menamatkan pengajian di politeknik- walaupun melalui kaedah di luar kebiasaan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan