Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lulusan ITE, politeknik yang kerja tetap makin berkurangan disebabkan trend berubah-ubah

Jumlah lulusan politeknik dan ITE yang diambil bekerja sepenuh masa semakin berkurangan berbanding 10 tahun lalu. Ini disebabkan oleh perubahan dari segi pekerjaan yang dipilih oleh para lulusan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Lulusan ITE, politeknik yang kerja tetap makin berkurangan disebabkan trend berubah-ubah

Gambar: TODAY

Diterbitkan : 06 Feb 2018 03:30PM Dikemas Kini : 06 Feb 2018 03:33PM

SINGAPURA: Jumlah lulusan politeknik dan ITE yang diambil bekerja sepenuh masa semakin berkurangan berbanding 10 tahun lalu. Ini disebabkan oleh perubahan dari segi pekerjaan yang dipilih oleh para lulusan ini.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Pendidikan, Dr Janil Puthucheary di Parlimen hari ini (6 Feb) semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leon Perera.

Dr Puthucheary berkata bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) meninjau kadar pengambilan pekerja di kalangan lulusan politeknik dan ITE setiap tahun, enam bulan selepas mereka selesai menduduki peperiksaan akhir.

Bilangan lulusan politeknik dan ITE yang mendapat pekerjaan tetap jatuh dari 77 peratus pada 2007 kepada 58 peratus pada 2016 iaitu merosot sebanyak 19 peratusan mata.

Ini berbanding jumlah lulusan yang memilih untuk bekerja secara bebas, sambilan dan secara tidak tetap yang kian meningkat, katanya.

Mengulas mengenai perangkaan itu, Dr Puthucheary berkata: "Hampir separuh daripada kemerosotan itu disebabkan oleh para pelajar yang memilih untuk bekerja secara sambilan sedang mereka membuat persiapan untuk melanjutkan pelajaran masing-masing".

Beliau turut merujuk kepada perangkaan MOE yang menunjukkan bahawa jumlah lulusan ITE dan politeknik yang memilih unutk meneruskan pengajian mereka meningkat 10 peratusan mata "sejak 10 tahun lalu".

Lagi separuh daripada kemerosotan itu disebabkan oleh para lulusan yang memilih untuk tidak bekerja secara tetap.

"Mereka mungkin bekerja secara bebas ataupun mempunyai alasan lain yang menyebabkan mereka memilih untuk bekerja secara sambilan ataupun buat sementara waktu saja," kata Dr Puthucheary.

Beliau berkata hanya sekitar 1 peratusan mata yang menunjukkan peningkatan bagi mereka yang bukan secara sukarela bekerja sambilan atau masih mencari kerja.

Namun, beliau berkata kadar pengambilan pekerja tetap tinggi. Selain naik turun yang disebabkan oleh prestasi ekonomi dan pasaran pekerjaan, Dr Puthucheary berkata bahawa sekitar sembilan daripada 10 lulusan berhasil mendapat pekerjaan.

Beliau selanjutnya berkata bahawa kementeriannya akan membuat kajian yang terperinci tentang trend-trend tersebut untuk memahami "faktor-faktor yang mendorong para pelajar untuk berbuat demikian".

"Analisis dan maklumat awal kami menunjukkan bahawa trend-trend itu mencerminkan tingkah laku dan aspirasi para pelajar serta peluang-peluang yang tersedia dan bukan faktor-faktor yang mendesak mereka untuk berbuat sebaliknya seperti yang digambarkan oleh salah seorang anggota (parlimen)," kata Dr Puthucheary.

"Namun, kami akan terus mengkaji hal tersebut untuk memastikan sama ada terdapat faktor-faktor yang boleh ditangani demi memanfaatkan para pelajar seberapa baik mungkin."

Dr Puthucheary memberikan respons itu dua minggu selepas tinjauan yang dijalankan oleh kelima-lima politeknik mendedahkan bahawa kadar pengambilan pekerja bagi lulusan politeknik menjunam ke paras terendah sejak tinjauan tersebut pertama kali dijalankan.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan