Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

LTA: Waktu ketibaan kereta api lebih lama semasa fasa awal Laluan Thomson-East Coast

Meskipun fasa pertama Laluan Thomson-East Coast (TEL1) akan meningkatkan keterhubungan di Woodlands, para penumpang mungkin perlu menunggu sehingga 15 minit untuk kereta api semasa tempoh operasi awal.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Jan 2020 11:49PM Dikemas Kini : 11 Jan 2020 11:59PM

SINGAPURA: Meskipun fasa pertama Laluan Thomson-East Coast (TEL1) akan meningkatkan keterhubungan di Woodlands, para penumpang mungkin perlu menunggu sehingga 15 minit untuk kereta api semasa tempoh operasi awal.

Terdapat waktu menunggu 10 minit antara setiap kereta api semasa waktu sibuk dan 15 minit semasa waktu tidak sibuk apabila khidmat penumpang bermula pada akhir bulan ini, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Menurut LTA, ini kerana jumlah penumpang yang dijangkakan rendah semasa peringkat awal laluan itu.

"Seiring dengan penambahan jumlah penumpang TEL1 , kekerapan bagi waktu sibuk dan bukan sibuk akan diselaraskan," kata pihak berkuasa itu.

Laluan Thomson-East Coast yang mempunyai 32 stesen dijangka dimanfaatkan oleh sekitar 500,000 penumpang apabila ia mula beroperasi sepenuhnya pada 2024. Jumlah itu dijangka naik seganda kepada 1 juta.

Tiga stesen pertama di laluan MRT keenam Singapura - Woodlands North, Woodlands dan Woodlands South - membuka pintunya kepada orang ramai pada Sabtu (11 Jan).

Para penumpang dapat menikmati perjalanan percuma di Laluan Thomson-East Coast sebagai sebahagian daripada acara rumah terbuka khas, menjelang bermulanya khidmat penumpang pada 31 Januari.

PEMBUKAAN TAHAP PERTAMA "PILIHAN MUDAH" UNTUK PENDUDUK

Berucap di majlis pada Sabtu, Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan berkata peringkat pertama adalah bahagian terpendek sepanjang laluan 43 kilometer itu, yang akan dibuka secara bertahap dalam lima peringkat.

"Kami boleh menggabungkannya dengan peringkat dua, yang akan menambah lima stesen ke arah Caldecott, tetapi kami memutuskan untuk membuka peringkat pertama," katanya. "Melakukannya membolehkan kami menghidupkan semua sistem baru, sebelum peringkat-peringkat susulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang."

Encik Khaw, yang juga Anggota Parlimen GRC Sembawang, menambah pembukaan ketiga-tiga stesen adalah "pilihan mudah" bagi para penduduk Woodlands, kerana ia menawarkan kemudahan dipertingkat dan masa perjalanan lebih singkat.

LALUAN RTS JOHOR BAHRU-SINGAPURA

Encik Khaw, yang juga merupakan Menteri Penyelaras Prasarana, berkata stesen Woodlands North direka untuk dihubungkan dengan stesen penghubung Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura yang dicadangkan, "jika dan apabila ia menjadi kenyataan".

"Oleh itu, stesen itu direka dengan saiz sewajarnya, untuk menampung bilangan tinggi penumpang waktu sibuk yang membuat perjalanan antara Singapura dengan Johor Bahru menerusi Laluan RTS," katanya.

Laluan RTS sudah digantung sebanyak tiga kali menyusuli kemenangan kerajaan Pakatan Harapan Malaysia pada 2018, sedang kerajaan baru itu berusaha mengkaji semula perjanjian yang ditandatangani oleh pentadbiran sebelumnya.

Pada Jumaat, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata beliau melawat rakan sejawatannya dari Singapura bagi "perbincangan yang berhasil" mengenai projek RTS, sambil menambah kedua-dua negara kekal komited untuk memeterai perjanjian itu pada April tahun ini.

Setiap laluan baru memberikan pihak berkuasa peluang untuk memanfaatkan teknologi baru dan menggunakan model operasi dan komersil yang baru untuk menyediakan khidmat lebih baik, tambah Encik Khaw.

Sebagai contoh, beliau berkata Depot Mandai mempunyai 6,200 panel suria sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan jejak karbonnya, manakala kereta api dan sistem pengendalian pada lalulan baru menggunakan peranti pemantauan sekitaran untuk meningkatkan keandalan dan menjadikan operasi dan penyelenggaraan lebih cekap.

Laluan Thomson-East Coast juga akan menampilkan mesin tiket baru, kios khidmat berserta sistem bantuan, yang membolehkan para pegawai pusat membantu para penumpang menerusi panggilan video.

Encik Khaw berkata beliau sudah meminta LTA untuk memaklumkannya tentang perkembangan baru laluan itu, khususnya berhubung tahap kedua. Butiran lanjut akan dikongsi dalam masa terdekat.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan