Images
  • lta (1)
    Gambar fail TODAY.

LTA tetapkan usia minimum 30 tahun bagi pemohon lesen pemandu kereta sewa privet; mestilah rakyat S'pura

SINGAPURA: Di tengah-tengah gesaan sejak sekian lama untuk menetapkan usia minimum bagi pemandu kereta sewa privet, semua pemohon Lesen Vokasional Pemandu Kereta Sewa Privet (PDVL) mestilah rakyat Singapura yang berusia sekurang-kurangnya 30 tahun semasa membuat pendaftaran, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang turut mengumumkan pada Selasa (15 Sep) bahawa ia berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Mereka juga mestilah mempunyai pengalaman memandu sekurang-kurangnya selama setahun.

Sebelum ini Penduduk Tetap (PR) juga layak membuat permohonan bagi lesen tersebut dan tiada usia minimum ditetapkan.

Ini meskipun para pemohon mestilah memiliki lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun untuk melayakkan diri. Ini bermakna para pemandu mungkin berusia semuda 20 tahun.

Dalam kenyataan medianya pada Selasa, LTA menyatakan bahawa pihaknya sudah menyemak semula kriteria kelayakan bagi PDVL demi memastikan ia sejajar dengan syarat-syarat bagi melayakkan diri untuk mendapatkan lesen vokasional pemandu teksi.

Ini dilakukan setelah mengadakan beberapa sesi mengumpul maklum balas dengan pihak-pihak berkepentingan dan persatuan-persatuan relevan, sambil menambah bahawa penjajaran itu disebabkan oleh persamaan yang semakin ketara antara khidmat teksi dengan kereta sewa privet.

Para pemegang PDVL sedia ada yang berusia bawah 30 tahun atau PR Singapura tidak akan terjejas dengan peraturan baru ini.

Mereka boleh terus menyediakan khidmat kereta sewa privet selagi mereka memperbaharui PDVL masing-masing sebelum tarikh luputnya.

Semua permohonan PDVL yang diterima sebelum pukul 5.30 petang pada 15 Sep akan diproses di bawah kriteria kelayakan sebelum ini, menurut LTA. 

- CNA/NA/na

Top