Images
  • pmd e-scooter file
    (Gambar fail: TODAY)

LTA tawar S$100 bagi pembuangan awal PMD tanpa piawaian UL2272

SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menawarkan para pengguna alat mobiliti peribadi (PMD) wang tunai dan pembuangan percuma PMD yang tidak mematuhi piawaian keselamatan kebakaran, menjelang pelaksanaan undang-undang yang melarang penggunaan alat-alat sedemikian di sini Julai depan.

Mulai Isnin (23 Sep), para individu yang memiliki PMD yang tidak mematuhi piawaian UL2272 boleh membawanya ke salah satu daripada 181 lokasi ditubuhkan oleh pengitar semula sisa elektronik yang dilantik LTA, di merata negara untuk menghapuskannya secara percuma.

Pihak berkuasa menekankan bahawa syarikat-syarikat pengitar semula itu lazimnya mengenakan bayaran untuk membuang alat PMD, kerana mereka dilatih dan mempunyai perkakas lengkap untuk memastikan PMD dibuang dengan selamat serta bagi pengitaran semula bahan-bahan dan komponen yang boleh diguna semula.

Piawaian UL2272 adalah piawaian keselamatan yang meliputi sistem elektrik PMD, termasuk sistem bateri.

Daripada 90,000 e-skuter yang didaftar dengan LTA, sekitar 90 peratus difahamkan tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran.

Untuk memohon bagi insentif tersebut, para pemilik e-skuter perlu menggunakan akaun SingPass atau CorpPass untuk menghantar aplikasi online di www.onemotoring.com.sg untuk membuang peralatan mereka.

Para pemohon yang berjaya akan menerima pesanan SMS, dengan satu pautan yang memaklumkan tempat dan bila mereka boleh menghantar peralatan mereka.

Mereka mesti menunjukkan SMS dan bukti identiti mereka apabila membuang peralatan mereka serta memastikan PMD mereka mempunyai tanda-tanda pendaftaran dan pengesahan LTA.

Para individu yang memiliki PMD yang tidak berdaftar masih boleh membuang peralatan mereka di kawasan pembuangan secara percuma sehingga 31 Mac tahun depan. Namun, mereka tidak layak menerima insentif wang tunai S$100.

Alat PMD seperti papan peluncur (hoverboard) atau ekasikal (unicycle) elektrik, yang tidak perlu berdaftar dengan LTA, juga tidak layak untuk insentif itu.

- CNA/NA/tq

Top