Images
  • lta 1
    E-skuter ini yang panjangnya seperti sebuah kereta melebihi had 20 kilogram yang ditetapkan. (Gambar: LTA)

LTA rampas e-skuter ini; sama panjang dengan kereta

SINGAPURA: Sebuah e-skuter yang "terlalu panjang" dirampas oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada pagi Selasa (23 Okt).

Alat mobiliti peribadi (PMD) yang sama panjang dengan sebuah kereta dikesan dan dirampas oleh Pegawai Penguatkuasaan Mobiliti Aktif semasa beliau sedang melakukan rondaan rutin, menurut catatan di laman Facebook LTA.


Rakaman video e-skuter itu pertama kali dimuatnaikkan ke laman Facebook ROADS.sg pada 20 Oktober, yang menunjukkan pemilik PMD itu menggunakannya dekat pusat Certis CICSO di Jalan Afifi.


E-skuter berkenaan didapati melebihi had 20 kilogram, sekaligus tidak membolehkannya digunakan di laluan-laluan awam.

Menggunakan PMD di jalan-jalan raya juga merupakan satu kegiatan yang diharamkan.

LTA memberi amaran bahawa hukuman lebih berat seperti denda dan/atau hukuman penjara boleh dikenakan bagi kesalahan-kesalahan seperti menggunakan PMD secara cuai, tidak mematuhi had kelajuan, menggunakan PMD yang tidak mematuhi peraturan serta menggunakan PMD di laluan-laluan yang bukan dikhaskan untuk alat tersebut.

Para pengguna PMD boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai sama ada PMD milik mereka mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh LTA, serta syarat-syarat dan peraturan mengenai penggunaan alat tersebut di laman LTA. 

- CNA/AI/ai

Top