LTA perkenal had tempat letak kenderaan di bangunan privet baru mulai Feb 2019
Had pada tempat letak kereta di bangunan-bangunan privet baru akan diperkenalkan pada tahun depan di bawah piawai tempat letak kereta baru yang diumumkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (9 Nov).
SINGAPURA: Had pada tempat letak kereta di bangunan-bangunan privet baru akan diperkenalkan pada tahun depan di bawah piawai tempat letak kereta baru yang diumumkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (9 Nov).
LTA juga mengumumkan bahawa lima kawasan akan diwartakan sebagai kawasan kurang bergantung kepada penggunaan kereta.
Kawasan-kawasan tersebut adalah Marina South, Kampong Bugis, Woodlands North, Bayshore dan Daerah Tasik Jurong.
Piawai Peruntukan Tempat Letak Kereta Berdasarkan Jarak yang baru akan diperkenalkan pada Februari depan. Ia akan menggantikan Piawai Tempat Letak Kereta sedia ada dan Piawai Tempat Letak Kereta Berdasarkan Jarak.
Ia bermatlamat memberi "lebih banyak kelonggaran" kepada para pemaju hartanah dalam menguruskan jumlah tempat letak kereta, menurut LTA.
Piawai baru itu akan menetapkan jumlah minimum dan maksimum tempat letak kereta yang mesti disediakan di sesebuah bangunan. Ini berbeza daripada Piawai Tempat Letak Kereta yang ada sekarang, yang hanya menetapkan jumlah minimum tempat letak kereta.
Selain itu, jumlah tempat letak kereta di bawah piawai baru itu akan berkurangan berdasarkan jenis bangunan di zon-zon tertentu.
KAWASAN KURANG BERGANTUNG KEPADA KERETA
Lima kawasan yang diwartakan sebagai daerah kurang bergantung kepada kereta - iaitu Marina South, Kampong Bugis, Woodlands North, Bayshore dan Daerah Tasik Jurong - akan dirancang sedemikian rupa agar ia mendapat sokongan tambahan bagi pengangkutan awam dan pilihan perjalanan alternatif.
Permohonan bagi jumlah tempat letak kereta di bangunan baru akan dipertimbangkan dari kes ke kes, menurut LTA.
Perubahan pada jumlah tempat letak kereta itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada pindaan terhadap Akta Tempat Letak Kereta.
Akta (Pindaan) Tempat Letak Kereta 2018 diluluskan pada Mac 2018 bagi memberi kuasa kepada LTA untuk menyesuaikan jumlah tempat letak kereta yang disediakan bagi bangunan-bangunan privet serta menyokong Singapura sebagai "sebuah negara yang kurang bergantung kepada penggunaan kereta".
LTA menyatakan ini akan membolehkan Singapura untuk memanfaatkan jumlah tanah yang terhad dan menggunakan tempat letak kereta bagi kegunaan lain.
TEMPAT LETAK MOTOSIKAL
Bagi memastikan bangunan baru memperuntukkan tempat letak motosikal, LTA juga akan memperkenalkan peraturan-peraturan bagi tempat letak motosikal di sesebuah bangunan bukan kediaman.
Lima peratus daripada jumlah tempat letak kereta dan motosikal di setiap bangunan akan diperuntukkan bagi motosikal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.