Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

LTA kenakan tindakan ke atas ofo kerana masih ada terlalu banyak basikal

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan pada Isnin (5 NOv) bahawa ia bercadang untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas ofo kerana memiliki basikal melebihi bilangan maksimum yang dibenarkan.

Anggaran Waktu Membaca:
LTA kenakan tindakan ke atas ofo kerana masih ada terlalu banyak basikal

Basikal-basikal ofo di Singapura. (Gambar: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 05 Nov 2018 08:41PM Dikemas Kini : 05 Nov 2018 08:43PM

SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan pada Isnin (5 NOv) bahawa ia bercadang untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas ofo kerana memiliki basikal melebihi bilangan maksimum yang dibenarkan.

Penguasa pengangkutan itu menyatakan pihaknya sudah menghantar notis makluman tujuannya kepada ofo.

ofo merupakan satu daripada enam syarikat yang dianugerahkan lesen mengendali khidmat perkongsian basikal di Singapura. Skim tersebut juga menetapkan had bagi bilangan basikal dan memerlukan setiap syarikat menyelaraskan bilangan basikal bermula 1 November.

Syarikat pengendali lain adalah Mobike dan SG Bike, serta Anywheel, Grabcycle dan Qiqi Zhixiang yang diberikan lesen bersyarat kerana kurang mempunyai pengalaman mengendali basikal perkongsian di Singapura.

LTA menyatakan bahawa ofo "diberikan kebenaran dasar" mengendali 25,000 basikal. Namun bilangan ini dikurangkan kepada 10,000 basikal "atas permintaan ofo".

"Semua pemilik lesen sudah mengikuti keperluan bagi menyesuaikan bilangan basikal mereka bermula 1 November 2018, kecuali ofo ... Bermula 1 November 2018, ofo masih mempunyai bilangan basikal jauh melebihi had maksimum 10,000 mahupun 25,000 yang LTA pada mulanya izinkan," kata LTA.

"LTA mengingatkan semua pemilik lesen dan yang ingin mendaftar untuk mematuhi semua syarat pelesenan dan piawaian prestasi," tambahnya.

Pengurus cawangan Singapura bagi syarikat ofo, Cik Isabelle Neo, berkata dalam satu kenyataan pada hari yang sama bahawa syarikat berpangkalan di Beijing itu sudah "memberitahu secara jelas dan telus kepada LTA bahawa menyelaraskan bilangan basikal kepada 10,000 memerlukan masa".

"Kami yakin dapat mematuhi sepenuhnya dalam beberapa hari mendatang," kata Cik Neo. "Amat dikesali untuk diberitahu bahawa saman dikenakan secara pantas dan hanya ke atas satu pengendali sahaja. Kami berharap LTA akan pertimbangkan memberi kami lebih masa."

Minggu lalu, Cik Neo memberitahu Mediacorp bahawa ofo sedang menarik balik basikal-basikal tambahannya, termasuk basikal-basikal yang rosak, untuk mematuhi keperluan pelesenan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan