Images
  • Faiz Basha 1
    Faiz Basha menunjukkan hasil rekaan peta sistem MRT baru kepada Dr Janil Puthucheary. (Gambar: Dr Janil Puthucheary/Facebook)

LTA, Janil Puthucheary puji peta baru MRT ciptaan pelajar Int'l Baccalaureate Faiz Basha

BERITAmediacorp: Faiz Basha, 17 tahun, sudah menetap di luar negara sejak berusia dua tahun lagi.

Namun setiap kali remaja ini pulang ke tanah air, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan prasarana di Singapura, lebih tepat lagi sistem pengangkutan darat negara ini.

Beliau akan menaiki kereta api di setiap laluan MRT dalam masa sehari untuk meluangkan masa bersama bapanya, Encik Munwar Basha. Malah pada saat-saat itu jugalah, beliau menanam hasrat untuk menyegarkan lagi peta sistem MRT Singapura.

Faiz Basha menerima pujian oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Menteri Negara Kanan Pengangkutan merangkap Perhubungan dan Penerangan Dr Janil Puthucheary kerana terlibat sama dalam usaha untuk melakar peta sistem MRT yang baru.


Anak kelahiran Singapura itu dan Cliff Tan, seorang arkitek berusia 31 tahun, adalah antara orang awam yang menyumbang saranan mereka untuk memperbaharui peta tersebut.

Proses untuk mereka semula peta tersebut bermula pada 2015, menurut LTA. Penguasa itu mendapatkan maklum balas orang ramai dan menguji prototaip bersama pereka peta di forum-forum antarabangsa.


Dilancarkan oleh LTA pada Rabu (11 Dis), peta sistem MRT baru itu menampilkan Laluan Circle sebagai titik utama dan ia turut memaparkan beberapa mercu tanda terkenal di Singapura.

ILHAM DI SEBALIK PETA BARU SISTEM MRT

Walaupun berpindah ke Geneva di Switzerland pada usia dua tahun, Faiz kerap pulang ke Singapura semasa cuti musim panas.

"Ketika itu, Singapura sedang menjalankan pelbagai projek prasarana terutamanya Laluan Timur Laut, Circle dan bekas Laluan Daerah Timur.

"Setiap tahun apabila saya pulang ke Singapura, saya mendapati betapa berbezanya peta sistem MRT. Saya juga memerhatikan bahawa perubahan-perubahan itu tidak konsisten," katanya semasa menjawab pertanyaan BERITAmediacorp.

Idea untuk mereka semula peta itu tercetus pada tahun lalu apabila beliau menyedari betapa pantas rangkaian MRT diperluaskan dengan laluan-laluan baru ditambah kepada rangkaian tersebut, seperti Laluan Thomson-East Coast (TEL), Laluan Daerah Jurong (JRL) dan Laluan Rentas Pulau (CRL).

Faiz, yang sedang menuntut program International Baccalaureate di Sekolah Antarabangsa Geneva di Switzerland, berkata peta sistem kereta api sesebuah bandar memainkan peranan penting dan ia juga mempengaruhi identiti bandar tersebut.

Maka itu, beliau bercadang untuk menghasilkan peta sistem MRT yang bukan sahaja dapat digunakan buat selama-lamanya, malah juga berbentuk ikonik.

"Saya cuba untuk menghasilkannya tanpa menjangkakan langsung bahawa ia akan dipaparkan di luar latar belakang desktop komputer riba saya," katanya lagi.


Faiz, yang sebelum ini pernah menjalani program bekerja sambil belajar di LTA semasa cuti sekolahnya, turut mendapat perhatian Dr Janil.

Menulis di laman Facebooknya pada Ogos lalu, Dr Janil berkata beliau sempat bertemu dengan Faiz yang menerangkan kepadanya tentang konsep dan hasil lukisannya.


Peta sistem MRT yang dihasilkan oleh Faiz "tertumpu kepada bulatan 'laluan circle' dan memenuhi pelbagai prinsip geometri".

"Hasil peta saya boleh disifatkan sebagai peta MRT paling ringkas dengan jumlah pusingan yang paling rendah," dedah beliau kepada BERITAmediacorp.

Dalam kiriman emelnya kepada BERITAmediacorp, remaja itu dengan rendah hati turut memberi sanjungan kepada para arkitek dan pereka LTA yang bekerja keras selama bertahun-tahun untuk mengkaji dan menghasilkan peta baru ini.

"Saya telah bertemu dengan sesetengah daripada mereka yang menghasilkan peta itu dan mereka mengambil tanggungjawab itu dengan serius. Walaupun beberapa aspek peta saya atau Cliff Tan mungkin telah digabungkan dalam reka bentuk mereka, sebahagian besarnya tetap dihasilkan oleh LTA."

MINAT MENDALAM TERHADAP PRASARANA SEJAK KECIL LAGI

Bapanya, Encik Munwar, mengongsi bahawa anak bongsunya itu sangat berminat dengan pengangkutan seperti kapal terbang dan kereta api serta projek-projek prasarana dan pembangunan sejak kecil lagi.

"Di mana-mana sahaja bandar yang kami kunjungi, sekiranya terdapat laluan kereta api, kami akan mencubanya," kata Encik Munwar, 49 tahun, mantan Ketua Dasar, Keistimewaan & Kekebalan Pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Ibunya, Sharifah Ferdaus Ali Albar, 47, yang berpangkalan di Switzerland, turut melahirkan rasa bangga atas pencapaian anaknya. Beliau berkata: "Kami berbangga Faiz mempunyai minat dan beliau telah menggabungkan minatnya untuk memanfaatkan masyarakat.

"Walaupun sudah tinggal di Switzerland sejak usia dua tahun, Faiz sering pulang ke tanah air semasa musim cuti panas. Pada waktu itulah, beliau mempelajari tentang Singapura dan perkembangan negara kita."

Faiz kini menetap di Geneva bersama kakak dan ibunya, Cik Sharifah, yang menyandang jawatan Naib Presiden di syarikat Deutschebank.

Encik Munwar, yang kini bertugas sebagai seorang Pengurus Besar di syarikat Oakwood Worldwide Asia di Bangkok, pula hanya berpeluang meluangkan masa bersama anaknya hanya beberapa kali setahun.

Setiap kali mereka bertemu, Encik Munwar memberitahu BERITAmediacorp bahawa kedua-dua beranak itu akan menaiki kereta api di semua laluan dalam masa sehari.

"Setiap tahun apabila beliau pulang ke Singapura dan ada laluan khidmat kereta api yang baru, kami pasti akan mencubanya," tambah bapa kepada dua orang anak itu.


(Gambar: Dr Janil Puthucheary/Facebook)

Bagi Faiz pula, memandangkan beliau belum lagi mencapai usia yang membolehkannya memandu, khidmat pengangkutan awam merupakan aspek paling penting dalam kehidupannya sehinggakan beliau sudah menghafal fungsi-fungsi setiap stesen kereta api.

Dalam catatan Facebook Dr Janil sebelum ini, beliau berharap agar Faiz akan kembali ke LTA suatu hari ini. Malah, Encik Munwar juga mengongsi bahawa anaknya pernah "melahirkan harapan untuk bekerja di Singapura kerana adanya projek-projek pembangunan MRT dan Lapangan Terbang Changi".

Ditanya sama ada beliau akan kembali bertugas di Singapura pada masa hadapan, Faiz memberitahu: "Saya berminat dalam bidang pengangkutan dan khususnya mobiliti bandar sejak kecil lagi. Pada masa hadapan, saya tentunya akan berasa gembira melakukan pekerjaan yang ada kaitan dengan minat saya."

Namun buat masa ini, katanya, beliau akan menumpukan perhatian kepada pelajarannya dan menjalani Perkhidmatan Negara (NS) kelak.

PAPAN-PAPAN TANDA TRANSIT BAKAL DINAIK TARAF 

Di samping peta baru, papan-papan tanda transit di stesen MRT akan dinaik taraf menggunakan fon lebih besar, ikon baru, perbandingan warna lebih tajam dan reka bentuk baru.

Papan tanda arah keluar di stesen-stesen kereta api juga akan memberi maklumat seperti perhentian bas manakala peta mengenai kawasan sekeliling merangkumi maklumat baru mengenai jarak berjalan kaki ke mercu-mercu tanda berdekatan.


(Gambar: LTA)

Menurut LTA, reka bentuk semula peta itu dibuat sedang laluan-laluan kereta api baru ditambah ke rangkaian pengangkutan Singapura.

Laluan pertama TEL dijangka dibuka menjelang hujung Januari depan, meliputi tiga stesen di bahagian utara Singapura iaitu Woodlands North, Woodlands dan Woodlands South.

Peta baru itu sudahpun dipasang di ketiga-tiga stesen baru tersebut dan LTA akan menimbangkan maklum balas para penumpang sebelum memasangnya di stesen-stesen lain.

- BERITAmediacorp/ai

Top