Images
  • jtc ceo
    CEO JTC Ng Lang (kiri) ambil alih jawatan ketua eksekutif LTA daripada Ngien Hoon Ping. (Gambar: MTI, MOT)

LTA dapat CEO baru; JTC, SLA umum pertukaran kepimpinan

SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Perbadanan JTC (JTC) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) akan dipimpin ketua baru mulai 1 September.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTA Ngien Hoon Ping, yang mengambil alih jawatan itu pada November 2016, akan meninggalkan perkhidmatan pentadbiran untuk menceburi sebuah perusahaan sosial.

Beliau akan digantikan oleh CEO JTC Ng Lang.

Jawatan Encik Ng di JTC akan diambil alih oleh ketua SLA Tan Boon Khai, manakala timbalan ketua eksekutif SLA Simon Ong Hung Eng akan menjadi pemangku ketua eksekutif lembaga itu.

Pertukaran kepimpinan di lembaga berkanun itu diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan serta Kementerian Undang-Undang dalam satu kenyataan media pada Khamis (6 Ogos).

Sebagai ketua eksekutif LTA, Encik Ngien menjalankan khidmat dengan "cemerlang dan penuh setia", menurut kementerian itu.

Encik Ngien juga bertanggungjawab bagi projek peningkatan Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat serta memimpin pembangunan beberapa projek utama seperti Laluan Thomson East Coast (TEL Fasa 1) dan Lebuh Raya Lornie yang baru.

Penggantinya, Encik Ng, merupakan CEO di Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Lembaga Taman Negara sebelum menyertai JTC.

Ketua eksekutif SLA Tan Boon Khai yang akan mengambil alih jawatan sebagai CEO JTC, berkhidmat dengan CapitaLand Group sebelum menyertai SLA pada Mei 2015.

- CNA/HA/ha

Top