Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

LTA beri kontrak S$809 juta bagi Koridor Utara-Selatan kepada Samsung C&T

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menganugerahkan kontrak sivil pertama untuk merekabentuk dan pembinaan Koridor Utara-Selatan (NSC) kepada Samsung C&T Corporation, demikian menurut LTA dalam satu kenyataan media hari ini (24 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
LTA beri kontrak S$809 juta bagi Koridor Utara-Selatan kepada Samsung C&T

Gambar hiasan NSC yang bakal dibina. (Gambar: LTA)

Diterbitkan : 24 Nov 2017 05:30PM Dikemas Kini : 24 Nov 2017 05:35PM

SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menganugerahkan kontrak sivil pertama untuk merekabentuk dan pembinaan Koridor Utara-Selatan (NSC) kepada Samsung C&T Corporation, demikian menurut LTA dalam satu kenyataan media hari ini (24 Nov).

Dalam kontrak bernilai S$809 juta itu, Samsung C&T Corporation perlu mereka bentuk dan membina koridor pengangkutan sepanjang 1.25km dengan dua terowong antara Novena Rise dan Toa Payoh Rise.

Kemudahan seperti jejantas, laluan terlindung, perhentian bas dan laluan basikal juga akan dibina di sepanjang koridor ini.

Kerja-kerja pembinaan NSC ini dijangka bermula tahun depan. LTA akan menganugerahkan kontrak sivil lain antara 2018 dan 2019.

Samsung C&T Corporation ditubuhkan pada tahun 1938 sebagai syarikat induk Samsung Group dalam operasi jualan luar negara.

Ia mempunyai "rekod prestasi yang baik di Singapura" kerana syarikat itu sudah menangani beberapa projek besar termasuk pembinaan Stesen Marina South Pier di laluan Utara-Selatan (NSL), Ekspreswe Marina Coastal sepanjang 1.75km serta stesen Ekspo di Laluan Downtown 3 dan stesen-stesen Upper Changi, menurut LTA.

Mereka juga kini terlibat dalam pembinaan Stesen Xilin dan terowong-terowong sebagai sebahagian daripada tambahan Laluan Downtown, serta Stesen Caldecott dan Marine Parade sebagai sebahagian daripada laluan Thomson-East Coast.

NSC akan merangkumi laluan-laluan bas ekspres dan laluan berbasikal yang akan menghubungkan bandar-bandar di bahagian utara Singapura dengan pusat bandar.

Laluan-laluan bas itu akan membantu mengurangkan tempoh perjalanan dari Woodlands, Sembawang, Yishun dan Ang Mo Kio ke pusat bandar sehingga 30 minit, di samping menjadikan sambungan bas antara bandar-bandar perumahan di NSC dengan lebih pantas lagi, menurut LTA sebelum ini.

Laluan berbasikal pula akan menghubungkan Rangkaian Penyambung Taman (PCN) dengan rangkaian laluan berbasikal di bandar-bandar HDB di seluruh koridor tersebut dengan pusat bandar. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan