Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lima kanak-kanak di bawah Projek 4650 menerima S$50,000 untuk pendidikan

Salah seorang penerima anugerah ialah Muhammad Irfan Bin Muhammad Ridwan Gan, 7 tahun yang tinggal bersama ibu bapa dan tiga adik-beradik yang lain di flat sewa sementara tersebut sebelum mereka berpindah ke flat tiga bilik milik mereka sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lima kanak-kanak di bawah Projek 4650 (P4650) menerima S$50,000 secara keseluruhan untuk menampung pendidikan mereka sehingga usia 12 tahun.

Dimulakan pada 2012, P4650 bertujuan menyelaraskan bantuan dan khidmat kepada keluarga-keluarga memerlukan yang tinggal di rumah sewa sementara di Blok 46 dan 50 di Bedok South Ave 3.

P4650 sampai ke penghujungnya dengan semua keluarga sudah berpindah awal tahun ini. Bagaimanapun pada hari Ahad (1 Julai) 2018, seramai 70 keluarga di bawah projek itu berkumpul bersama dengan pelbagai pihak berkepentingan P4650 bagi satu acara sambutan Hari Raya.

Dianjurkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Kelab Masyarakat Siglap (Siglap CC MAEC) dan disokong oleh CDC Tenggara, lima kanak-kanak dari P4650 diperuntukkan sebanyak S$10,000 setiap seorang. Ini adalah sebahagian daripada derma yang dikumpulkan masyarakat menerusi projek amal 50 @ 50 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Perundingan Rakyat Siglap. Wang tersebut boleh digunakan untuk menampung pendidikan mereka, termasuk program pengayaan atau bayaran yuran peperiksaan.

Dr Maliki Osman, Datuk Bandar CDC Tenggara juga ikut serta bersama para penduduk dan sukarelawan di majlis sambutan Hari Raya tersebut.

"Apabila kami memulakan P4650, ramai yang menghadapi pelbagai masalah dan situasi krisis. Ia lebih daripada memberi keluarga ini sumber-sumber yang mereka perlukan. Kejayaan projek ini diukur dengan cara bagaimana kita dapat membantu keluarga-keluarga ini untuk berdikari - untuk mendapat pekerjaan, untuk mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi," kata Dr Maliki.

Salah seorang penerima anugerah ialah Muhammad Irfan Bin Muhammad Ridwan Gan, 7 tahun yang tinggal bersama ibu bapa dan tiga adik-beradik yang lain di flat sewa sementara tersebut sebelum mereka berpindah ke flat tiga bilik milik mereka sendiri.

"Keluarga saya gembira Irfan dipilih untuk menerima anugerah ini dan jumlah ini akan banyak membantu. Kami berterima kasih kepada pihak penganjur atas anugerah ini", kata bapa Irfan, Muhammad Ridwan Gan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan